Hyundai Santa Fe - SUV 7 tempat duduk yang memang duduk dalam hati

oleh Mohamad Hanif|
Mahu atau tidak, memang ramai kaum bapa yang tak mahukan sebuah MPV walaupun anak sudah berderet.
Modenas

MPV dikira tidak stylo, nampak terlalu "tua", tidak bergaya dan seolah-olah memberikan imej bahawa kehidupan mereka sudah membosankan dan mereka redha untuk kelihatan jelik.

Mungkin kerana itu, jualan untuk SUV 7-tempat duduk sentiasa rancak dan menjadi pilihan ramai. Kemunculan SUV genre itu pada harga mampu milik menambahkan lagi kegilaan pasaran untuk segmen ini. Lihat sahaja jualan Perodua Aruz, walaupun dikeji oleh peminat Proton Geely yang taksub ke China, jualan Aruz tetap melangit.

Untuk mereka yang mempunyai bajet antara RM150k ke atas, pilihan semakin banyak. Dari SUV berdasarkan trak pikap, hingga ke jenama mewah Jerman dengan teknologi hibrid yang langsung tidak diendahkan oleh kebanyakan pemiliknya.

 


Careta membawa keluar sebuah Hyundai Santa Fe generasi terbaharu selama seminggu untuk melihat sendiri prestasinya sebagai sebuah kenderaan keluarga. Varian yang diberikan ialah Santa Fe Executive 2WD petrol dengan enjin Theta II 2.4 MPI dan ia juga merupakan model paling mampu milik untuk model Korea ini - RM166,974 atas jalan tanpa insurans.

Harga itu termasuk waranti 5-tahun dan servis percuma untuk tiga tahun atau 50,000 km, yang mana terdahulu.

Jadi untuk yang gemar membaca, ayuh kita lihat apa yang kami alami 7-hari bersama dengan SUV 7-tempat duduk ini!

 


Dari segi rekabentuk, bahagian hadapan yang unik itu semakin hari semakin kacak dilihat.

Lampu paling atas itu sebenarnya hanya untuk DRL jenis LED. Lampu sebenar berada pada bamper Santa Fe itu, mengapit gril yang besar itu. Untuk spek Executive ini, lampu hadapan itu adalah dari jenis halogen sahaja.

Bahagian belakang cukup bijak menyorok saiz sebenar Santa Fe - ia nampak seolah-olah bersaiz Tucson walhal ini ialah SUV segmen D - sama seperti BMW X5 atau Audi Q7.

Jika dikaji lagi, Santa FE generasi keempat ini, bila dibandingkan dengan Santa Fe sebelumnya, adalah 80 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda juga ditambah 65 mm lebih panjang. Ya, ia besar tetapi tidak nampak besar.

 


Lampu belakang untuk varian petrol Executive ini menggunakan mentol biasa. Hanya varian Premium yang dapat lampu belakang LED tetapi apa pun, lampu belakang Santa Fe mengingatkan penulis kepada lampu belakang BMW.

Mengikut tradisi Santa Fe sebelum ini, pembuka pintu but belakang sepatutnya dari jenis "grab" - seperti pemegang pintu sisi. Nampaknya perekabentuk Hyundai mahu meninggalkan tradisi itu dan Santa Fe generasi ini hadir dengan pembuka but biasa - butang yang tersorok di atas plet nombor.

Roda aloi 18-inci nampak biasa-biasa sahaja kerana Santa Fe ini sebenarnya besar. Tayar buatan Korea Nexen digunakan.

Dari sisi, rekabentuk Santa Fe memang tidak nampak "bagak". Ramai tidak percaya ia mempunyai 7-tempat duduk! Ini bagus kerana ia nampak sporty tanpa perlu mengecilkan ruang kabin.

Jika dibandingkan dengan SUV yang berdasarkan platform trak pikap seperti Toyota Fortuner, Isuzu Mu-X dan Ford Everest, Santa Fe ini mempunyai kabin yang jauh lebih luas, lebih mewah, lebih selesa dan lebih senyap.

 


Enjin yang digunakan ialah enjin petrol 4-silinder 2,359 cc Theta II yang menghamburkan 172PS dan 225 Nm - prestasinya tidak ada harapan untuk menggegar jantung sesiapa pun tetapi bagi kegunaan harian, memadai.

Transmisi pula ialah dari jenis 6-kelajuan automatik. Memang menjadi lazim Hyundai dan Kia sekarang, hanya varian berenjin diesel yang menerima transmisi 8-kelajuan automatik. Nasib baik transmisi 6-kelajuan 2WD (hanya varian diesel diberikan pacuan AWD) ini lebih dari cukup untuk Santa Fe berenjin petrol ini.

 


Kemasan kabin untuk varian Eksekutif ini pada pendapat penulis, sudah cukup lengkap walaupun ini ialah model paling asas. Kulit hitam membaluti semua tempat duduk dan rekabentuk papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk cukup modern dan mewah.

Varian ini juga datang dengan skrin sentuh 7-inci yang boleh menggunakan Android Auto atau Apple CarPlay. Penulis girang hati kerana sistem CarPlay itu lebih dari mencukupi dan mudah digunakan.

Kualiti audio juga menarik - bunyi bass masih mendalam dan "solid". Aksesori yang tidak ada untuk varian ini ialah pengecaj henfon nirwayar - yang tidak menjadi masalah untuk pengguna CarPlay kerana kabel sambungan memang akan mengecaj telefon selular anda itu.

Tempat duduk barisan kedua memang boleh digelungsur ke hadapan dan ke belakang bagi memberikan ruang kaki yang lebih untuk penumpang di barisan paling belakang.

 


Ruang kepala pula mencukupi, walaupun untuk barisan ketiga lebih untuk penumpang bersaiz biasa. Yang tinggi lampai ala model seperti penulis, disarankan duduk di barisan kedua.

Kawalan aircon turut diberikan untuk tempat duduk barisan ketiga, walaupun sebenarnya ia hanya mampu mengawal kipas blower sahaja.

Ruang but untuk Santa Fe ini lebih kurang sama dengan SUV 7-tempat duduk yang lain, cuma ia mempunyai satu lagi ruang di bawah lantainya, khusus untuk menyimpan tonneau cover dan juga barangan kecil - seperti kotak rokok dan "lighter" yang boleh disembunyikan di sini tanpa dikantoikan oleh isteri.

Jika tempat duduk barisan ketiga direbahkan, ruangan kargo akan meningkat kepada 547 liter. Tak cukup? Gunakan dua butang di dinding kiri but untuk menurunkan pula tempat duduk barisan kedua, menghasilkan ruang kargo seluas 1,625 liter. Luas!

Pemanduan kenderaan jenama Korea sekarang ini jauh lebih baik dari dahulu. Ia tidak lagi membosankan, sudah lebih "refined" dan bebas gegaran dan getaran serta bunyi-bunyi yang menyakitkan telinga.

 


Jika mahu dibandingkan, Santa Fe menawarkan pemanduan yang lebih mirip sebuah kereta, berbanding dengan Toyota Fortuner. Input stereng memberikan komunikasi yang lebih telus, sistem gantungan tidak membuatkan ia terhuyung-hayang seperti lanun mabuk air setan dan bunyi dari tayar atau angin tidak wujud pada kelajuan "halal".

Kualiti plastik juga jauh lebih mewah dan membolehkan pemilik tersenyum puas hati kerana tahu wang ringgit yang dibayar memberikan pulangan dari segi produk yang berkualiti dan berteknologi tinggi.

Semasa dipandu laju, Santa Fe ini juga tidak mudah goyah. Ia bersahaja walaupun dalam keadaan angin lintang yang kuat wujud. Bila dipandu melanda kawasan tidak rata yang dibenci oleh selebriti Lando kita, SUV ini tidak terasa "kasar" - ia seolah-olah menelan segala cacat-cela jalanraya dengan cara yang sangat premium.

Kelengkapan keselamatan turut mewah - standard termasuklah 6 beg udara, ESC, ABS, Downhill Brake Control (DBC), Hill-start Assist Control (HAC), BAS, TCS dan VSM.

Yang tidak ada pada varian Executive ini ialah Rear Occupant Alert (ROA) - sistem yang memberitahu anda bahawa ada penumpang (anak anda mungkin) yang masih tertinggal di belakang sebelum anda meninggalkan kenderaan, Blind-Spot Collision Warning dan Rear Cross Traffic Collision Warning.

 


Adakah ia memuaskan hati penulis? Atau adakah anda patut mengeluarkan lagi RM20,000 untuk varian Premium? Pada pendapat penulis, varian Executive ini sudah memadai pun kerana ia sudah terasa jauh lebih mewah dari pesaing-pesaing Jepunnya.

Memang ngam!

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Pelancaran
Ini kerana di sebalik perubahan yang agak agresif tersebut, Hyundai Santa Fe 2021 sebenarnya…
Berita Global
Tidak seperti kebiasaan model facelift yang membawakan perubahan yang ringkas, Hyundai Santa Fe…
Berita Domestik
Oleh sebab itu, harga jualan bagi Hyundai Santa Fe sedikit meningkat, bermula dari RM171,888.00…