Hyundai Santa Fe 2021 - model facelift yang diberikan platform dan muka baharu

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada sebuah model yang bukannya bertaraf model baharu, akan tetapi memiliki status model facelift, Hyundai Santa Fe 2021.

Ini kerana di sebalik perubahan yang agak agresif tersebut, Hyundai Santa Fe 2021 sebenarnya dibangunkan atas platform generasi ketiga serba baharu yang menjanjikan peningkatan terhadap prestasi, pengendalian, tahap penjimatan bahan api dan keselamatan.

 


Tahap pengendalian dipertingkatkan dengan mengalihkan poin tetap untuk lengan stereng rapat kepada titik tengah roda hadapan, sementara tahap NVH (bising, gegaran dan kekasaran) kenderaan telah dipertingkat dengan sistem penyerapan bunyi baharu.

Struktur juga difahamkan lebih selamat, terima kasih kepada integrasi penggunaan keluli bertekanan tinggi, dan struktur hot stamping yang mampu menyerap impak pelanggaran dan dalam masa yang sama meminimumkan deformasi kabin bagi melindungi penumpang.

 


Hyundai telah mendatangkan rupa bentuk front fascia yang lebih agresif, dimulakan dengan rekaan lampu berlapis dengan kehadiran lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul yang menyamai rekaan DRL Volvo.

Rekaan gril juga turut direka dengan lebih lebar, seakan ikan yang sedang membuka mulut dan diapit dengan struktur lampu utama di bahagian kiri dan kanan.

 


Beralih kepada bahagian sisi, Hyundai Santa Fe 2021 didatangkan dengan set rim bersaiz 20 inci, manakala ruang belakang ditampilkan dengan lampu yang direka semula dengan kehadiran bar lampu yang melintangi bahagian tersebut.

Terdapat juga bar pemantul cahaya yang memanjang di bahagian bumper yang turut direka semula.

 


Sementara itu, ruang dalaman juga turut menerima beberapa perubahan seperti skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci yang digandingkan dengan skrin instrumen digital bersaiz 12.3 inci di hadapan pemandu.

Rekaan konsol tengah ditinggikan dan menampilkan butang kawalan transmisi Park, Reverse, Neutral dan Drive dan bukannya tombol gear seperti kebiasaan kereta Hyundai.

 


Kesemua varian Santa Fe 2021 akan didatangkan dengan ciri pemilihan Terrain Mode yang membenarkan pemandu memilih beberapa mod pemanduan seperti Sand, Snow and Mud, Eco, Sport, Comfort dan Smart.

Perincian seperti penawaran enjin dan varian hanya akan didedahkan tidak lama lagi, di mana benua Eropah bakal menjadi destinasi pertama pelancaran bermula September ini manakala pasaran lain akan menyusul menjelang hujung tahun ini.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak seperti kebiasaan model facelift yang membawakan perubahan yang ringkas, Hyundai Santa Fe…
Berita Domestik
Oleh sebab itu, harga jualan bagi Hyundai Santa Fe sedikit meningkat, bermula dari RM171,888.00…
Berita Domestik
Dalam satu majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors baru-baru ini,…