Unit kuasa
Enjin dengan ukuran gerek 81 milimeter (mm) dan lejang 48.5 mm mempunyai nisbah mampatan 13.6.
Honda telah mengubah pemasaan injap dan angkatan (lift) dan bentuk kepala omboh ditukar bagi meningkatkan nisbah mampatan.
Hasilnya boleh dirasai pada prestasi pecutan julat pertengahan.
Kedua-dua model juga merupakan motosikal Honda pertama yang menggunakan throttle-by-wire (TBW) dengan dua motor.
Penggunaan dua motor untuk membuka dan menutup injap pendikit membolehkan kawalan setiap dua silinder dilakukan secara bebas.
Pengawalan pemulas pendikit (throttle) menjadi lebih mudah pada julat bukaan rendah semasa memecut dan meningkatkan keberkesanan pembrekan enjin semasa nyah pecut.
Honda juga mengurangkan inersia dengan menukar bentuk dan menurunkan berat aci engkol dan menyumbang kepada tindak balas enjin lebih jitu mengikut pulasan pendikit.
Nisbah gear turut ditukar dan secara keseluruhannya Honda mahu meningkatkan daya pacuan dalam julat kelajuan motosikal.
Rangka, reraut dan winglet baharu
Perkakasan rangka direka semula bagi mengoptimumkan berat dan keseimbangan ketegaran. Nampak sama namun berbeza dari segi struktur dan penggunaan bahan.
Perubahan ketara boleh dilihat pada winglet, reraut tengah dan bawah baharu yang dimanfaatkan dari dunia perlumbaan.
Bahagian lateral (sisi) winglet dikurangkan dan berupaya menekan motosikal ke bawah dan pada masa yang sama mengurangkan olengan (yaw) sehingga sepuluh peratus.
Perubahan itu juga meningkatkan kelincahan motosikal. Dari segi berat, SP mempunyai tambahan satu kilogram (kg) berbanding 200 kg pada Fireblade.
Kawalan elektronik
Selain perubahan karakteristik output dan pembrekan enjin hasil penggunaan TBW dua motor, Honda turut memeta semula setiap mod tunggangan.
Perubahan itu membolehkan penunggang menikmati Fireblade dengan lebih menyeronokkan dan dalam pelbagai keadaan tunggangan.
FIREBLADE SP mempunyai fungsi yang memaparkan nilai prabeban yang disyorkan untuk suspensi depan dan belakang mengikut berat penunggang.
Saranan itu ditentukan berdasarkan maklumat berat penunggang yang dimasukkan ke dalam meter.
Penyerap hentak dan brek
Berbeza dengan FIREBLADE, FIREBLADE SP menggunakan penyerap hentak depan ÖHLINS NPX Smart-EC 3.0 dan TTX36 Smart-EC3.0 di belakang.
Brek depan SP menggunakan angkup Brembo berbanding Nissin pada FIREBLADE.
Warna dan harga
CBR1000RR-R FIREBLADE ditawarkan dalam tiga warna (tricolor) Grand Prix Red manakala FIREBLADE SP mempunyai tambahan Matte Pearl Morion Black.
FIREBLADE ditawarkan pada harga 2,486,000 yen (RM78,906.226) dan 2,849,000 yen (RM90,427) untuk SP.
Penulis: Muhammad Md Tajudin