Gelombang haba terburuk di China, pemilik terpaksa beratur tengah malam untuk caj EV!

oleh Mohamad Hanif|
Masalah kekurangan bekalan elektrik di China yang disebabkan oleh serangan gelombang haba kini menjejaskan lebih daripada satu juta unit kenderaan elektrik di negara tersebut.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Menurut laporan South China Morning Post, lebih 400,000 fasiliti pengecasan umum terkesan akibat pengurangan bekalan tenaga elektrik bagi meringankan beban ke atas sistem grid.
 


Syarikat pembekal tenaga elektrik terbesar China, State Grid sebelum ini telah mengurangkan bekalan kuasa pada waktu puncak (3pm-10 pm) setiap hari di kemudahan pengecasan awam di wilayah Zhejiang, Hubei, Sichuan dan Henan serta perbandaran Chongqing.

Malah, mereka juga turut menggantung sementara operasi sesetengah fasiliti pengecasan pada waktu tersebut, atau beroperasi dengan kadar kapasiti yang telah dikurangkan.

 


Ini mengakibatkan tempoh pengecasan menjadi semakin panjang, dan ada pemilik kenderaan elektrik di sana terpaksa bangun di tengah malam semata-mata untuk beratur dan menunggu untuk mengecas EV mereka di luar waktu puncak.

Menurut laporan Wapcar, ada sesetengah stesen penukaran bateri yang dioperasikan oleh Nio dan Geely terpaksa ditutup buat sementara waktu, dan hanya dua daripada 31 fasiliti Tesla Supercharger yang masih lagi beroperasi buat masa ini.

Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pemilik EV biasa, malah  pemandu teksi juga turut terjejas kerana tidak dapat mencari sumber pendapatan dengan menggunakan teksi elektrik mereka.
 


Dalam satu temubual, seorang pemandu teksi elektrik menjelaskan beliau mula beratur sejak jam 8 malam lagi, hanya untuk mula mengecas teksinya sekitar jam 4 atau 5 pagi keesokan harinya.

Pengecasan penuh teksi elektrik itu membolehkannya bergerak sejauh 400 km, namun angka tersebut menurun dengan pantas disebabkan oleh keadaan cuaca yang panas, serta peningkatan penggunaan pendingin hawa.

Biarpun teksinya masih lagi menunjukkan baki jarak sekitar 170 km, pemandu itu tidak dapat meneruskan kerjanya mencari penumpang bimbang terpaksa beratur dan menunggu dengan lebih lama lagi untuk mengecas EV tersebut.

Sumber: South China Morning Post, Wapcar

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pada ketika ini, sebahagian besar kawasan Eropah dilanda fenomena gelombang haba yang sangat…
Berita Domestik
Sebanyak 30 kawasan di Semenanjung dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap 1 dengan…
Informasi
Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran gelombang haba yang kini melanda Semenanjung…