Gelombang haba melanda Malaysia - tips kekal selamat ketika menunggang

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran gelombang haba yang kini melanda Semenanjung Malaysia dengan suhu maksimum mencecah 36.9 darjah Celcius. 

Antara kawasan berisiko disenaraikan termasuklah: 

Chuping (Perlis)
Kubang Pasu, Kota Sertar, Sik (Kedah)
Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta (Perak)
Maran (Pahang)
Kepong (Kuala Lumpur)
Muar (Johor)

Dalam menjalankan tugas seharian, menempuh keadaan cuaca yang panas terik membahang ini tidak dapat dielakkan oleh sesetengah di antara kita. 

Jadi, untuk kekal selamat, berikut kami kongsikan beberapa tips untuk menghadapi musim panas yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan April ini. 
 

1. Rancang perjalanan terlebih dahulu


Bagi mereka yang bukan bekerja di waktu pejabat, dan ingin memulakan perjalanan menuju ke satu-satu tempat, anda dinasihatkan supaya mengelakkan untuk menunggang di bawah sinaran mentari yang terik untuj satu jangka masa yang lama. 

Ini kerana kebiasaannya waktu puncak tengah hari mencatatkan suhu yang paling panas dan tunggangan di bawah keadaan ini sebenarnya boleh mengganggu kadar tumpuan. 
 

2. Periksa kondisi jentera anda

 

Untuk kekal beroperasi dengan optimum di bawah keadaan cuaca panas, sila pastikan keadaan komponen yang penting seperti minyak coolant, dan juga radiator berfungsi dengan baik. 

Usah dilupakan untuk memeriksa kadar tekanan tayar motosikal anda sebelum memulakan perjalanan. 

 

3. Banyakkan berhenti rehat

 

Terdapat beberapa tempat teduh yang disediakan khas untuk anda berehat seketika, terutama ketika melalui lebuhraya ataupun jalan-jalan utama. 

Stesen minyak masa kini juga sudah banyak menyediakan ruang untuk para penunggang beristirehat seketika sementara menunggu cuaca panas reda. 

 

4. Sentiasa kekal berhidrasi 


Menunggang dalam keadaan cuaca panas akan menyebabkan kehilangan kandungan air dalam badan, majoritinya disebabkan air peluh yang dirembes bagi mengekalkan suhu dalam badan. 

Namun, terlalu banyak air yang keluar akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit di dalam badan, jadi minum banyak air mampu membantu menggantikan kehilangan air yang disebutkan tadi. 

Cuba elakkan daripada meminum kafein, tinggi kandungan gula dan alkohol kerana ia akan membuatkan anda cenderung untuk membuang air dengan lebih kerap.
 

5. Ride Gear, ONZ!


Antara kesilapan yang kerap dilakukan oleh para penunggang ialah menanggalkan jaket keselamatan atau ride gear yang sesuai ketika menunggang dalam cuaca panas. 

Idea di sebalik menanggalkan jaket ini adalah untuk menyejukkan badan dengan lebih cepat, namun apabila air peluh menyejat dengan cepat (akibat halaju), ia akan menyebabkan anda mengalami dehidrasi dengan lebih cepat. 

Selain daripada itu, ia juga akan meningkatkan risiko kecederaan apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. 

 

6. Elakkan selaran matahari


Walaupun kita memakai kit tunggangan yang paling lengkap, ada beberapa tempat yang biasanya terdedah kepada sinaran mentari yang terlalu lama, seperti muka, leher dan juga lengan. 

Tambah menyakitkan apabila kita sendiri terlupa riding glove, dan anda boleh rasai sendiri betapa peritnya permukaan belakang tangan ketika menunggang dalam keadaan cuaca tersebut. 

Jadi, untuk mengelakkan selaran matahari (sunburn), anda disarankan untuk memakai krim losyen pelindung matahari pada bahagian yang terdedah. 
 

7. Lindungi mata anda


Menunggang di bawah sinaran UV yang terlalu lama mampu memberikan kesan kepada pandangan anda. 

Tanpa perlindungan yang sewajarnya, kehadiran bendasing seperti habuk, serangga dan air hujan juga boleh mengganggu tumpuan tunggangan. 

Keadaan ini amat berbahaya jika anda terpejam mata untuk kadar beberapa saat. 

Pastikan helmet anda mempunyai visor yang cukup bersih dan terang untuk kegunaan di waktu siang, dan jika mampu dapatkan cermin mata yang dilengkapi dengan ciri penapis sinaran UV. 


8. Berhenti jika anda mempunyai tanda-tanda ini


Strok haba dan keletihan akibat haba merupakan tanda-tanda yang ditunjukkan oleh seseorang yang menunggang terlalu lama di bawah tekanan cuaca panas. 

Antara tanda-tanda yang perlu diambil perhatian ialah keletihan yang melampau, 

  • rasa sakit, 
  • pengsan 
  • terlalu banyak berpeluh, 
  • kadar degupan jantung yang tinggi
  • perasaan pening 
  • keliru. 

Jika anda mengabaikan tanda-tanda di atas, strok haba akan menyerang di mana:

  • sistem perpeluhan akan berhenti
  • kulit terasa sejuk 
  • kadar degupan jantung, pernafasan meningkat
  • kejang otot
  • loya, muntah, sakit kepala

Dalam situasi yang teruk, masalah kecelaruan minda mungkin berlaku sehingga membahayakan tunggangan malah ia mampu menyebabkan penunggang hilang sedar!

 

9. Bantu rakan anda


Jika anda perasan rakan anda mempunyai tanda-tanda di atas, elakkan daripada meneruskan perjalanan, dan cari tempat teduh.

Dalam masa yang sama, terus berikan bekalan air yang secukupnya dan tuala basah kepada rakan anda - amat berguna untuk menyejukkan kembali suhu badan. 

Jika tanda-tanda tersebut tidak kebah dalam masa 30 minit, terus hubungi pihak kecemasan berhampiran untuk mendapatkan bantuan selanjutnya. 
 

Berita Berkenaan

Informasi
Penggunaan bateri tersebut digunakan oleh kenderaan terkini kerana tenaga tersebut sedikit sebanyak…
Tekno Careta
  Ini termasuklah cara-cara membersihkan kenderaan kita, dari syampu kenderaan sampailah segala…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…