
Setiap tahun WardsAuto memgumumkan sepuluh model terbaik dan untuk tahun ini Bentley Bentayga Speed tersenarai di dalam kategori dalaman terbaik.
Speed adalah varian berprestasi untuk SUV Bentley Bentayga.
Umum mengetahui Bentley adalah jenama mewah namun tidak semua model dalam segmen sama berada di dalam senarai ini.
Berada di dalam senarai WardsAuto mengesahkan Bentayga Speed mempunyai interior yang bagus.
Lebih menarik apabila ini adalah tahun ketiga berturut-turut Bentley berada di dalam senarai 10 Dalaman Terbaik Wards yang juga tahun kesebelas diadakan.

Para juri WardsAuto telah menilai 33 model kenderaan di Amerika Syarikat yang mempunyai bahagian dalaman baharu atau dipertingkatkan dengan signifikan.
Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor seperti estetik, keselesaan, ergonomik, penggunaan bahan, pemasangan dan kemasan serta paparan dan kawalan yang mesra pengguna.
Bahagian dalaman Bentayga Speed bukan sekadar dilimpahi dengan komponen atau bahan premium tetapi dibuat secara anggun atau classy.
Di antara ciri dalaman Bentayga Speed ialah permainan warna kontra, bahan seperti Alcantara, kulit asli dan kemasan venir menggunakan tangan.

Sistem audio premium Naim pula meletakkan Bentayga Speed pada aras tersendiri di dalam segmen SUV.
Sistem itu terdiri daripada 20 pembesar suara dengan kuasa 1780W dan mempunyai lapan mod berbeza dan direka untuk penggemar dan arif tentang audio (audiophiles).
Akhir sekali, jika anda mahukan model mewah dan diperakui selesa boleh pertimbangkan Bentayga Speed dan menariknya sebuah model kebanyakan iaitu Mitsubishi Outlander 2022 turut berada di dalam senarai sama.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
