
Pelanggan ditawarkan tujuh warna riasan seperti Mandarin, Signal Yellow, Klein Blue, Pillar Box Red, Ice, Hyper Green dan Beluga.
Pada bahagian luar, riasan yang terang digunakan pada kit badan Styling Specification dari depan sehingga ke belakang.
Angkup brek juga dibuat dalam warna sepadan yang menyerlah di sebalik rim 22 inci warna hitam.
Sama seperti Bentayga S standard, kesemua perkakasan krom diganti dengan warna hitam kilat. Logo Black Edition dilekatkan tiang D.

Pada bahagian dalaman pereka Bentley membangunkan kemasan baharu dan berlawanan seperti badan luar.
Pelanggan boleh memilih warna terang di luar dan dibawa ke dalam sebagai seri kepada balutan kulit Beluga (kelabu gelap).
Papan pemuka cantik dan unik dengan sulaman karbon baharu dan diguna pada konsol tengah dan panel pintu.
Tulisan Black Edition dibuat cantik di bawah lapisan berkilat pada papan pemuka.

Pek Dark Chrome dijadikan ciri asas dan kesemua perincian besi seperti corong penyaman udara 'bullesye' dan punat 'organ stop' ditukar kepada hitam kilat.
Untuk sistem audio, pelanggan ditawarkan Bentley Signature Audio, Bang & Olufsen for Bentley atau Naim for Bentley.
Dari segi pengendalian, dinamika pemanduan di dalam setiap mod pemanduan ditingkatkan dengan Electronic All-Wheel Steering.
Karakter itu diserlahkan lagi dengan gabungan Bentley Dynamic Ride yang menggunakan kuncian putaran roda belakang sehingga +/- 4.8 darjah.

Pada kelajuan di bawah 59 kilometer sejam (km/j), roda belakang diputar pada arah berlawanan roda depan bagi penukaran laluan dengan pantas.
Tetapan itu turut mengurangkan pusingan pembelokan sebanyak satu meter.
Pada kelajuan di atas 59 km/j, roda belakang berputar arah sama seperti roda depan bagi meningkatkan kestabilan dan memberikan lebih keyakinan.
Satu lagi ciri canggih ialah Bentley Dynamic Ride yang merupakan teknologi kawalan olengana aktif elektrik pertama di dunia yang menggunakan sistem 48V.

Sistem mampu bertindak balas dalam tempoh 0.3 saat dan sehingga 1,300Nm untuk mengatasi daya olengan di selekoh dan memastikan tayar 'melekat' dengan maksimum.
Bentayga S Black Edition digerakkan enjin 4.0 liter V8 turbo twin-scroll yang menghasilkan 542 bhp dan tork 770Nm. Ekzos sport dilengkapi sebagai ciri asas.
Pecutan dari 0 sehingga 100 km/j hanya perlu 4.5 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 290 km/j.
SUV ini juga mempunyai mod SPORT yang ditingkatkan berbanding Bentayga standard. Stereng rasa berbeza, tindak balas pembelokan lebih enak dan olengan badan dikurangkan.

Sistem Torque Vectoring by Brake telah ditentukur (kereta membrek sedikit pada roda dalam semasa memasuki selekoh) dan meningkatkan keasyikan pemanduan.
Selain enjin V8, ada satu lagi pilihan iaitu Bentayga S Hybrid Black Edition dengan enjin 3.0 liter TFSI V6 dan gabungan motor penjana elektrik 100 kilowatt (kW).
Kuasa keseluruhan 456 bhp dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j memerlukan 5.3 saat.
Sebagai jentera hibrid, motor elektrik menghantar kuasa tujahan penuh bermula dari ligatan (rpm) sifar.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
