Bentley Bentayga S - enjin V8 4.0 liter turbo berkembar, 542 hp/770 Nm, 0-96 dalam 4.4 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Selepas pelancaran model Bentayga Speed yang telah dikemaskini, Bentley kini menambah sebuah lagi varian baharu yang dinamakan sebagai Bentley Bentayga S.

Menurut Bentley, Bentayga S merupakan jawapan mereka kepada permintaan pelanggan yang mahukan prestasi Bentayga yang lebih dinamik di atas jalan raya.

Untuk membezakan Bentley Bentayga S dengan Bentayga yang standard, terdapat ciri unik seperti kemasan warna hitam menggantikan peranan krom, lampu utama dan belakang dengan tinted gelap, spoiler bumbung, tip ekzos berbentuk oval terpisah pada kiri dan kanan, serta kehadiran lencana S.

 


Salah satu ciri penting yang didatangkan pada Bentayga S adalah sistem Bentley Dynamic Ride yang menggunakan teknologi anti-oleng aktif 48 voltan.

Ciri yang pertama seumpamanya di dalam industri ini mempunyai keupayaan untuk berinteraksi sepantas 0.3 saat dengan menyalurkan tenaga kilas sehingga 1,300 Nm untuk membalas kembali daya oleng lateral ketika sedang mengambil selekoh.

Sistem ini menawarkan kestabilan kabin yang optimum serta memastikan kadar cengkaman tayar yang maksimum pada jalan raya.

 


Selain daripada itu, Bentley Bentayga S juga didatangkan dengan sistem torque vectoring yang dikalibrasi semula, sistem ekzos berprestasi, serta mod pemanduan Sport yang memperbaiki respon stereng, pendikit dan suspensi 15 peratus lebih keras.

Untuk menggerakkan SUV yang besar ini, Bentley memasang enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar yang berupaya menghasilkan 542 kuasa kuda dan daya kilas 770 Nm, yang membenarkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 290 km/j.

 


Walaupun berkuasa, Bentley Bentayga S mampu bergerak sejauh 654 km untuk setangki minyak yang penuh, sekiranya ia dipandu secara berhemah.

Tidak seperti model Bentayga Speed, ruang kabin Bentayga S kini didatangkan dengan kemasan warna merah, serta tempat duduk yang dibaluti bahan premium yang turut didatangkan dalam kemasan dua tona yang serupa.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak seperti model biasa, Flying Spur S menampilkan kemasan warna hitam pada beberapa komponen…
Berita Global
Memfokuskan kepada prestasi pemanduan serta rupa paras yang lebih sporti, beberapa perubahan…
Berita Global
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Automotive News Jumaat lalu, mereka menjelaskan, "Kami…