11 tips pemanduan pada waktu malam!

oleh SALINA JALIL|
Ada di antara kita yang suka memandu pada waktu malam.

Antaranya ialah keadaan trafik yang kurang dan cuaca yang lebih sejuk memberikan tahap keselesaan yang lebih baik.

Namun begitu, memandu di waktu malam mempunyai risiko tersendiri, terutama larut malam di mana tubuh kita sudah biasa untuk rehat (tidur).

Dari segi saintifik, jam semulajadi pada tubuh manusia telah memprogram kita agar merasa sangat mengantuk pada dua masa – antara jam 1.00 am hingga 6.00 am dan antara jam 2.00 pm dan 4.00 pm.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Menurut kajian Horne & Reyner (1995), masalah mengantuk semasa memandu di waktu-waktu tersebut menjadi punca kemalangan.

 

Selain dari itu, masalah fizikal seperti kebolehan membezakan warna dan pandangan peripheral (pandangan sisi mata atau ekor mata) semuanya mempunyai tahap yang lebih rendah berbanding dengan waktu siang.

 

Dan satu fakta yang anda perlu fikirkan lagi ialah jarak lontaran lampu kereta itu sendiri menghadkan kadar membrek yang selamat.

 

 

Lampu tinggi hanya mampu menerangi sejauh 100 meter hingga 150 meter. Jika anda memandu pada kelajuan 100 kmsj, anda memerlukan lebih dari 60 meter untuk berhenti.

 

Ini bermakna, jika anda memandu pada kelajuan 110 kmsj, anda mempunyai peluang yang tipis untuk berhenti dari objek yang anda suluh tadi.

 

Namun begitu, sekiranya anda masih terpaksa memandu di waktu malam, di bawah ialah 11 tips yang kami fikirkan berguna untuk anda, Insya Allah.

 

 

1. Pastikan lampu hadapan pada posisi tepat

  • Lampu hadapan kenderaan perlu diatur mengikut posisi yang sebenarnya.
  • Setiap pusat servis kenderaan mempunyai ukuran yang tepat untuk posisi lampu hadapanyang betul.
  • Ini penting kerana jika lampu terlalu rendah, anda tidak nampak jauh ke hadapan.
  • Dan jika lampu terlalu tinggi, pemandu dari arah bertentangan akan silau dan mungkin melanggar anda. Kalau tidak pun, anda akan disumpah!

 

2. Tukar mentol

  • Mentol kenderaan (jenis halogen), walaupun tidak terbakar, tidak akan tahan selamanya.
  • Tukar mentol sekiranya ia telah berusia lebih dari tiga tahun.
  • Ada mentol-mentol yang mempunyai jarak lontaran yang lebih jauh. Ia sedikit mahal dan selalunya, perbezaan yang didapati tidak ketara.
  • Jangan beli mentol berwarna putih kerana walaupun nampak cantik, ia langsung tidak berguna di kala kabus atau di waktu senja. Ia juga menyilaukan pemandu lain.
  • Jika sistem lampu hadapan anda dari jenis halogen, jangan tukar kepada sistem mentol HID kerana reflektor untuk sistem halogen berlainan dari untuk HID. Jika dilakukan juga, ia mungkin nampak lawa tetapi lontaran cahaya akan bersepah dan tidak fokus.

 

3. Bersihkan lensa lampu

  • Kerana bentuk lampu hadapan sekarang yang semakin canggih dan berciri “wrap around” (mengikut bentuk sudut kereta), lampu hadapan kini mempunyai penutup atau lensa yang diperbuat dari plastik.
  • Untuk cuaca Malaysia yang panas, lensa plastik untuk kereta bagi pasaran ini memang mempunyai fungsi anti UV. Namun begitu, ia tetap akan mula menguning selepas enam ke tujuh tahun.
  • Bagi penggemar kereta recond, lensa lampu hadapan akan mula menguning selepas beberapa tahun kerana ia tidak ada lapisan anti UV.
  • Oleh itu, ia mengurangkan daya lontaran cahaya.
  • Lensa perlu dibersihkan bagi keupayaan lampu yang optimum.

 

 

4. Silau dari lampu meter dan papan pemuka

  • Cahaya dari skrin di papan pemuka atau dari panel meter akan menyebabkan silau dan ini membuatkan mata pemandu cepat letih dan paling bahaya, pemandangan hadapan terganggu.
  • Kerana itu, ada kereta yang lampu pada papan pemuka dan panel meternya boleh dikurangkan kekuatannya.
  • Jika kenderaan anda anda fungsi itu, kurangkan kadar keterangan lampu papan pemuka agar mata anda tidak penat memandu malam.
  • Pelumba profesional pula sampai ada yang menutup papan pemuka dengan baldu hitam agar tidak ada silau terbit dari permukaan kilat papan pemuka tersebut.
  • Anda juga tidak digalakkan memandu dengan lampu kabin terhidup kerana ia akan menyebabkan anda silau dan tidak nampak kenderaan atau jalanraya di hadapan.

 

 

5. Jangan pakai cermin mata yang salah

  • Ada juga iklan yang menyatakan cermin mata dengan lensa kuning sesuai untuk pemanduan di sebelah malam.
  • Ini disangkal sendiri oleh Persatuan Cermin Mata Hitam Amerika Syarikat (ya, ia adalah satu industri yang sangat besar dan bernilai berbillion US Dollars).
  • Cermin mata warna kuning mungkin akan membantu menaikan kontras, tetapi ia juga menghalang jumlah cahaya yang masuk ke mata anda dan mengurangkan penglihatan.
  • Gunakan cermin-mata dengan lapisan anti-silau kerana ia memang membantu.
  • Untuk anda yang memang memakai cermin-mata, pastikan nilai astigmatism anda turut dimasukan ke dalam lensa anda kerana ia adalah punca utama silau.

 

night vision

 

6. Sensitif kepada mata binatang

  • Antara risiko memandu di waktu malam ialah haiwan liar di atas jalanraya.
  • Kerana ia haiwan, ia tidak melintas di tempat yang sepatutnya dan ia enggan memakai pakaian dengan jaluran reflektif.
  • Oleh itu, biasakan mata anda untuk melihat kilauan dari retina mata binatang di waktu malam.
  • Kilauan cahaya akan menjadikan mata binatang itu bercahaya di waktu malam.
  • Strategi paling baik ialah dengan memperlahankan kenderaan secepat mungkin menggunakan brek kecemasan
  • Jangan cuba mengelak kerana haiwan seperti rusa atau lembu yang panik itu akan mengikut lampu kenderaan anda.
  • Anda juga ada risiko hilang kawalan kenderaan jika anda cuba membelok dengan terlalu cepat pada kelajuan yang tinggi.
  • Bahagian hadapan kenderaan mempunyai daya ketahanan yang lebih tinggi dari bahagian sisi kerana ia memang direka untuk menyerap hentakan sewaktu kemalangan.

 

 

7. Jangan kau renung lampu kenderaan mendatang

  • Ada di antara kita yang berkhayal dan terpandang kepada lampu kereta yang datang dari arah bertentangan.
  • Ini hanya akan menyilaukan mata anda dan bila anda hendak lihat ke hadapan kembali, jalan yang gelap itu akan menjadi berpinar-pinar.
  • Satu lagi yang anda perlu ingat ialah kenderaan (kereta dan motosikal) akan bergerak ke arah di mana mata anda sedang melihat.
  • Ini bermakna jika anda merenung kenderaan di laluan sebelah, secara tidak sengaja stereng akan anda gerakkan ke arah tersebut.

 

8. Turunkan cermin pandang belakang jika silau.

  • Ada pemilik kenderaan yang menggunakan lampu HID haram (dipasang sendiri dan bukan alatan standard) atau mentol cerah yang didongakkan ke atas.
  • Ada juga pemandu yang memang tidak tahu lampunya tinggi dan menyilaukan kita di hadapan (jika lampu kenderaan anda sudah boleh menyuluh ke dalam kabin kenderaan di hadapan, ia bermakna lampu anda tinggi).
  • Jika ini berlaku, kita turunkan cermin sisi dan cermin pandang belakang.
  • Jika tidak tahan juga pada panahan lampu itu, perlahankan kenderaan dan biarkan mereka potong.
  • Dan selepas itu, kuatkan iman dan jangan membalas dendam dengan mengikuti kenderaan tersebut dengan menggunakan lampu tinggi kita pula.

 

silau

 

9. Bersihkan cermin hadapan dengan surat-khabar

  • Permukaan berminyak pada cermin hadapan akan menyebabkan silauan pada pemandu.
  • Bersihkan cermin hadapan, luar dan dalam dengan menggunakan surat-khabar kerana ia mampu membuang minyak-minyak tersebut.
  • Simpan kain microfiber di dalam kenderaan untuk membersihkan dalam cermin hadapan.

 

 

10. Bersihkan cermin sisi

  • Cermin sisi yang kotor memang menghalang penglihatan dan kadang-kadang, memberikan efek silau kepada pemandu.
  • Bersihkan cermin sisi sebelum kita memandu di waktu malam.

 

 

11. Pastikan kenderaan okay

  • Perlu diingatkan, jika kenderaan kita rosak, tidak ada bengkel yang beroperasi 24 jam.
  • Kos menunda juga lebih tinggi dari biasa.
  • Oleh itu, pastikan anda ada menyimpan nombor kecemasan sekiranya berlaku yang tidak diingini.
  • Pastikan ahli keluarga anda tahu anda dalam perjalanan dan laporkan kepada mereka yang anda telah sampai ke destinasi.
  • Simpan lampu suluh dan papantanda tiga segi dengan reflektor.

 

 

Pastikan anda telah berehat sepenuhnya sebelum memulakan perjalanan. Jangan lupa membaca doa naik kenderaan dan selamat memandu semua!

Berita Berkenaan

Informasi
Penggunaan bateri tersebut digunakan oleh kenderaan terkini kerana tenaga tersebut sedikit sebanyak…
Tekno Careta
  Ini termasuklah cara-cara membersihkan kenderaan kita, dari syampu kenderaan sampailah segala…
Berita Global
Menurut laporan daripada Bloomberg, pengeluar itu dikatakan menghantar emel berbentuk tips kepada…