Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, 10 kereta turut terperangkap di dalam banjir kilat di tempat sama.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang dan tujuh anggota bersama dua jentera termasuk Pasukan Perkhidmatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi untuk memberi bantuan.
"Setibanya di lokasi pasukan kawalan operasi mendapati terdapat 10 kereta terperangkap di dalam banjir dan semuanya berjaya dialih dan diselamatkan," katanya dihubungi.
Beliau berkata, hujan lebat turut menyebabkan beberapa rumah penduduk di Jalan Sungai Putat dinaiki air dan pihaknya turut memindahkan lapan mangsa termasuk seorang pesakit kronik dan seorang wanita mengandung ke tempat selamat.
Kejadian pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta mewah dan motosikal turut dilaporkan berlaku di Jalan Sungai Putat, menyebabkan penunggang cedera manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh dalam satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan tembok papan tanda Muzaffar Heights runtuh dan sudah diambil tindakan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang memasang tali keselamatan sementara untuk keselamatan pengguna jalan raya.