Ketika sedang bertugas anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu terlihat sebuah SUV Nissan X-Trail dalam keadaan terapung di lokasi kejadian dengan pemandunya masih di dalam kenderaan.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, melihat keadaan itu, salah seorang anggota lantas terjun ke dalam air bagi menyelamatkan mangsa.
Air naik kira-kira jam 6 petang tadi di kawasan Jalan Chan Sow Lin menghala ke Jalan Pudu menyebabkan kenderaan dipandu seorang lelaki tenggelam.
“Tiga anggota berkenaan Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman bertindak pantas menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa berusia 27 tahun itu pada mulanya tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu yang sudah ditenggelami air.
“Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian.
“Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit,” katanya.