Jika anda mempunyai wang yang mencukupi dan masih mahukan sebuah ute yang bergaya, boleh cuba lihat sendiri model yang kami paparkan kali ini.
Terletak di Knaresborough, UK, "Decadence" merupakan model binaan sekali (one-off) menggunakan asas Bentley Continental Flying Spur yang dihasilkan oleh DC Customs dan sedia untuk mencari pemilik baharu.
Kos ubahsuai pikap Decadence ini menelan belanja sekitar £120,000 (RM708,494), dan menariknya ia mempunyai nadi yang sangat berkuasa untuk memudahkan kerja-kerja memunggah barangan.
Enjin bentangan W12 6.0 liter turbi berkembar itu berupaya menjana kuasa setinggi 560 PS @ 6,100 rpm, dan daya kilas 650 Nm @ 1,600-6,100 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik ZF enam nisbah kelajuan.
Bermula dari tiang B ke belakang, sedan mewah Continental Flying Spur tahun 2005 itu telah dipotong bahagian bumbung dan bonet, sebelum diberikan bed kargo yang dialas dengan kayu jati tulen - seakan kemasan pada bot mewah.
Untuk lebih praktikaliti, bahagian tersebut telah ditambah laci dan kabinet untuk memuatkan barangan kecil, serta ruang khas untuk menempatkan dua unit bateri.
Keseluruhan bahagian luaran Decadence ini telah dilayangkan warna deep purple, diikuti kemasan perak Aston Martin pada bahagian hud enjin.
Manakala ruang kabin pula mendapat kemasan kulit karamel dua tona, serta kemasan kayu pada bahagian tertentu.
Untuk makluman, harga yang diminta untuk pembeli membawa pulang Decadence ini adalah sekitar £149,950 (RM885,499).
Sumber: PistonHeads