Mungkin tidak ramai yang sedar, motosikal ini sudah pun berada di dunia sejak 25 tahun yang lalu, dan sepanjang tempoh kehadirannya Suzuki Hayabusa telah berjaya mengubah lanskap motosikal, selain mendefinisikan semula konsep prestasi.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-25, Suzuki memperkenalkan model Hayabusa edisi 25th Anniversary dengan membawakan skema warna unik dua tona jingga dan hitam.
Selain daripada itu, Hayabusa 25th Anniversary membawakan ciri berikut:
• warna khas untuk komponen pelaras rantai pemacu dan bahagian dalam cakera brek hadapan
• ukiran perkataan Jepun Hayabusa pada rantai dan perumah peredam
• emblem ulang tahun ke-25
• logo Suzuki tiga dimensi pada tangki
• pelana tunggal sebagai ciri standard
Generasi pertama Hayabusa diperkenalkan di Intermot pada tahun 1998, sebelum mula dijual di Eropah dan Amerika Utara pada tahun 1999.
Berkonsepkan "Ultimate Sport", Hayabusa membawakan ciri motosikal berkuasa tinggi, pengendalian yang berprestasi, serta pakej aerodinamik yang unik di mana ia berubah menjadi sebuah motosikal mercu yang mewakili jenama Suzuki.
Generasi kedua pula dilancarkan pada tahun 2007, di mana model baharu itu menerima peningkatan sesaran enjin daripada 1,299 cm3 kepada 1,340 cm3, diikuti dengan ciri baharu Suzuki Drive Mode Selector (SDMS).
Model generasi kedua itu juga turut diperluaskan pasarannya ke seluruh dunia, di mana ia buat pertama kalinya dilancarkan di Jepun pada tahun 2014.
Pada tahun 2021, generasi ketiga Hayabusa dilancarkan dengan membawakan perubahan kepada casis dan enjin, serta pelbagai kawalan elektronik termasuklah Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) dan sistem penukaran gear pantas dua arah.