Dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo inline-4, ia mampu menjana kuasa setinggi 190 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 320 Nm @ 1,500-3,990 rpm yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan dan transmisi automatik klac berkembar S tronic tujuh kelajuan.
Bahagian luar Audi A3 Sedan ini menampilkan reka bentuk yang sporti, dimulakan dengan rekaan jeriji Singleframe, corak sarang lebah, lampu utama LED, serta rim aloi bersaiz 17 inci.
Bahagian belakang pula sedikit tinggi, sementara garis bumbung yang melandai dari tiang B ke belakang pula membuatkan penampilan sedan ini seperti sebuah coupe.
Terdapat juga komponen yang membantu aliran aerodinamik yang lebih baik seperti panel bawah badan, cermin sisi serta sistem penyejukan brek aktif yang juga berfungsi mengurangkan halangan angin.
Aspek pengendalian sedan ini terdiri daripada topang MacPherson di depan, sistem four-link di belakang dengan talaan yang lebih sporti, sekaligus menawarkan pemanduan yang lebih jitu terutama ketika di selekoh berkelajuan tinggi.
Ruang dalam pula menampilkan ciri Audi virtual cockpit plus dengan skrin sentuh MMI bersaiz 10.1 inci yang menawarkan kuasa perkomputeran 10 kali lebih pantas, selain menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Terdapat lapan pilihan warna yang boleh dipilih termasuk dua kemasan cat solid, lima warna metalik dan satu warna efek mutiara.
Harga jualan Audi A3 Sedan S Line ini bermula dari RM331,990 termasuk duti dan cukai jualan.