
Buat kali pertama dalam siri A3, pemandu boleh menukar lampu nyalaan siang (DRL) digital dengan empat pilihan melalui sistem Multi-Media Interface (MMI).
Lampu besar LED dan Matrik menghasilkan DRL digital menggunakan 24 bahagian piksel di dalam tiga baris pada bahagian atas lampu.
Pada bahagian dalam Audi memperbaharui rekaan penukar gear, liang udara, riasan fabrik dari poliester kitar semula, lampu dalaman dan beberapa lagi.
Selain itu, konsol tengah didatang bersama perehat tangan dengan larasan panjang dan sudut.

Kelengkapan asas dalaman terdiri daripada radio digital DAB+, skrin sentuh 10.1 inci dan sistem kokpit maya Audi.
Turut dilengkapi, pengecas telefon tanpa wayar induktif dan tambahan dua port pengecasan USB-C di belakang selain dua di depan.
Kelengkapan lain seperti MMI navigation plus dan sambungan serta laluan ke laman aplikasi membolehkan pemandu menggunakan pelbagai aplikasi melalui paparan kereta.
Amazon Alexa pula boleh digunakan untuk penstriman muzik dan mengawal tetapan peranti pintar di kediaman.

Dari segi teknologi pemanduan, A3 dilengkapi bantuan pengelakan pelanggaran dan pembelokan dan amaran penukaran lorong.
Bantuan Suai Pandu pula boleh didapati melalui khidmat berasaskan permintaan atau satu daripada fungsi Pek Teknologi untuk pasaran United Kingdom (UK).
Turut tersenarai di dalam pek ialah fungsi bantuan penukaran lorong.
Sistem yang ditawarkan mengendalikan pecutan, pembrekan dan stereng pada kelajuan sehingga 209 kilometer sejam (km/j).

Fungsi itu juga membantu penukaran lorong pada kelajuan melebihi 90 km/j di laluan yang lebih laju.
Diaktifkan melalui MMI, sistem menggunakan maklumat daripada radar belakang bagi menentukan kesesuaian penukaran lorong.
Sistem turut memaparkan laluan yang boleh diguna untuk menukar lorong melalui anak panah pada meter atau papar pandu (HUD).
Apabila pemandu menghidupkan lampu isyarat, sistem membantu pemandu secara aktif dalam operasi penukaran laluan.

Lagi kelengkapan seperti bantuan parkir dengan sistem parkir plus, amaran penukaran lorong, amaran keluar dan bantuan lintasan trafik belakang menggunakan radar.
Untuk pasaran UK, pada peringkat awal A3 ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan kotak gear.
A3 35 TSFI dibekal enjin 1.5 liter mild hybrid yang menghasilkan 148 bhp dan dipadan bersama kotak gear S tronic tujuh kelajuan sebelum manual enam kelajuan menyusul.
Varian 35 TDI pula menggunakan enjin 2.0 liter diesel dengan kuasa 148 bhp dan padanan kotak gear S tronic.

Audi akan menambah varian petrol dan diesel pada tahun ini termasuk model hibrid plug-in yang diperkemaskan.
Terdapat warna baharu yang ditawarkan iaitu ala hijau askar atau nama rasminya District Green dan Progressive Red.
Sebagai imbasan, Audi menawarkan A3 Sedan S Line 2023 dengan enjin 2.0 liter turbo dan kotak gear S tronic di pasaran tempatan. Harganya? RM327,162.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
