Berbanding sistem generasi pertama, trenkuasa e-Power yang telah ditambahbaik itu kini mampu menghasilkan lima peratus lebih kuasa dan tujuh peratus lebih daya kilas.
Ia masih lagi menampilkan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter (78 hp/103 Nm) yang bertindak sebagai unit penjana kuasa namun kuasa daripada motor elektrik kini bertambah kepada 134 hp dan 280 Nm.
Nissan juga telah menambah saiz pek bateri kepada 2.06 kWh (berbanding 1.57 kWh pada model terdahulu), sementara kadar kecekapan penggunaan bahan api juga telah meningkat 6.4 peratus.
Selain daripada perubahan terhadap trenkuasa, Nissan turut meningkatkan tahap kesenyapan kabin, diikuti dengan e-Pedal Step yang mampu menawarkan pemanduan yang lebih relaks dan lancar terutama apabila pedal pendikit dilepaskan.
Tambahan kepada penawaran model sedia ada adalah varian Kicks e-Power 4WD yang menampilkan sistem pacuan semua roda elektrik, serta ciri keselamatan Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (FCW) yang standard untuk kesemua varian, lengkap dengan penderia radar di bahagian hadapan.
Ruang kabin pula mendapat sedikit kemaskini pada bahagian konsol tengah dan tombol gear, diikuti dengan penawaran warna beige dan orange tan untuk kemasan dua tona.
Sebuah varian baharu yang digelar sebagai Style Edition menampilkan ruang dalaman plush brown, serta gril hadapan krom gelap.
Harga jualan untuk model Nissan Kicks e-Power 2022 ini bermula dari 2,798,400 yen (RM90,484) untuk versi 2WD, atau dari 3,061,300 yen (RM98,985) untuk versi pacuan empat roda.