Seperti nama yang tertera, Honda CBR150R Edisi Repsol ini didatangkan dengan liveri Repsol ikonik dengan warna jingga yang diselangi dengan jalur putih dan warna hitam, diikuti dengan rim berwarna jingga yang menyerlahkan lagi penampilannya.
Antara ciri-ciri menarik yang sedia ada pada model CBR150R adalah lampu LED penuh, sistem lampu utama berkembar yang agresif, brek cakera, paparan meter digital penuh yang mampu memaparkan lebih banyak informasi kepada penunggang, serta tidak ketinggalan sistem brek anti-kunci ABS dua saluran.
Dari segi kuasa, Honda CBR150R masih lagi didatangkan dengan nadi silinder tunggal sejukan cecair 150 cc yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan klac slipper yang mampu memudahkan pengalaman tunggangan.
Hanya 800 unit sahaja Honda CBR150R Edisi Repsol yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan bermula dari RM13,499.
Setiap model Honda dilindungi jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km yang mana terdahulu.