Memperkenalkan, Huayra Codalunga.
Model edisi terhad (dan mahal) ini sebenarnya diinspirasikan daripada jentera lumba Le Mans era 1960-an, di mana dua orang pelanggan setia Pagani tampil pada tahun 2018 untuk membincangkan sebuah varian baharu longtail.
Hasil pertemuan tersebut membuahkan Huayra Codalunga, dan biarpun ia berstatus edisi terhad, Pagani tidak langsung mengenepikan aspek regulasi dan undang-undang dalam penghasilan kereta bertemakan retro ini.
Ia dikuasakan dengan nadi V12 yang mampu menjana kuasa setinggi 840 hp dan daya kilas 1,100 Nm.
Rekaan belakang tanpa kehadiran sebarang jeriji itu mendedahkan komponen sistem ekzos titanium balutan seramik seberat 9.7 kg yang diakhiri dengan tip ekzos kuad tipikal Pagani.
Secara keseluruhan, berat Huayra Codalunga ini hanyalah sekitar 1,290 kg sahaja, menandakan penggunaan bahan ringan yang meluas.
Untuk luaran, Pagani hanya menawarkan pilihan cat neutral semi-matte atau fully matte, sementara ruang kabin pula menampilkan penggunaan upholsteri kulit/nubuck, serta komponen aluminium bermesin.
Sudah pasti, setiap satu Huayra Codalunga memiliki spesifikasi penyesuaian yang berbeza, di mana menurut Pagani pemilik perlu membayar sekurang-kurangnya €7 juta (RM32.44 juta)!