Pagani Imola - hypercar eksklusif, lima unit sahaja dalam dunia!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai sebuah syarikat automotif yang pakar dalam mengeluarkan jentera eksklusif dalam unit yang terhad, Pagani kini tampil dengan sebuah lagi model edisi terhad khusus untuk kegunaan di dalam litar - Pagani Imola.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Walaupun memiliki rupa separas Huayra, jentera ini dinamakan sebagai Pagani Imola di mana ia sebenarnya dipetik daripada nama sebuah litar lumba yang ternama di Itali, dan ia merupakan lokasi di mana jentera Pagani ini dibangunkan dengan serius. 
 


Menggunakan nadi 6 liter V12 dengan susunan 60 darjah yang diperoleh daripada Mercedes-AMG, enjin ini mampu menghasilkan 827 kuasa kuda dan daya kilas sebesar 1,100 Nm.

Sebagai perbandingan, enjin yang sama dimuatkan ke dalam model Huayra memiliki talaan 764 kuasa kuda dan 1,000 Nm. 

Apa yang membezakan antara Imola dan Huayra (selain daripada talaan enjin) adalah aspek aerodinamik yang lebih serius ditumpukan pada Imola seperti empat unit winglet aktif yang beroperasi di bawah kelajuan dan kondisi tertentu bagi memberikan efek yang berbeza. 
 


Ia turut diikuti dengan beberapa komponen lain seperti skirt sisi yang agresif, skup udara yang berbentuk aneh, dan dan diffuser belakang. 

Menurut pengasas dan Ketua Pereka Horacio Pagani berkata, "walaupun pada satu ketika, aspek ini dilihat mampu mengubah nilai astetik yang ada pada Imola, ia sebenarnya bertujuan untuk menambahbaik masa pusingan, karakteristik pemanduan serta keselamatan pemandu itu sendiri.

"Jadi, secara asasnya ia bukanlah sebuah kereta yang tampak elegan," ujar beliau memberikan kata sifat kepada Pagani Imola.
 


Keseluruhan aspek pemanduan ini disempurnakan dengan penggunakan rangka monocoque sentral yang diperbuat daripada bahan carbo-titanium HP62 G2 dan carbo-triax HP62 - bahan yang sama terdapat pada Huarya Roadster BC.

Geometri pada sistem suspensi juga telah diberikan penambahbaikan serta ciri untuk meninggikan atau merendahkan kenderaan untuk pemanduan di dalam jalan biasa atau jalan berbonggol.

Rupa luaran Panagi Imola ini juga sangat unik dengan layangan warna baharu digelar sebagai 'Acquarello Light' yang kelihatan seperti warna perak, namun mampu memberikan pengurangan berat sebanyak lima kilogram berbanding cat Pagani biasa. 
 


Sebagai perbandingan, Pagani Imola memiliki 28 kilogram lebih berat badan berbanding Huayra BC. 

Sebelum Pagani melepaskan jentera ini untuk dimiliki, mereka telah pun menguji secara ekstensif di dalam litar sejauh 16,000 kilometer untuk membuktikan ketahanannya di dalam perlumbaan seperti Le Mans. 

Namun, tunggu dulu. 
 


Jika anda sedang bersiap sedia untuk menghala ke Bank Simpanan Nasional, lupakan sahaja niat itu kerana kesemua unit Pagani Imola sudah pun habis terjual kepada lima orang peminat tegar. 

Ya, anda tidak salah baca, ini kerana hanya ada lima unit sahaja Pagani Imola di dalam dunia ini!