Pagani Huayra R - enjin V12-R 6.0 liter, 838 hp/750 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Semenjak diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2012, Pagani telah menghadirkan beberapa versi Huayra dengan prestasi yang dipertingkatkan, dan yang terbaharu merupakan sebuah Huayra R yang dilengkapi dengan enjin baharu V12-R.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Enjin yang dibangunkan bersama HWA AG itu memiliki kapasiti 6.0 liter yang disifatkan sebagai 'enjin paling ringan, paling berkuasa dan enjin V12 paling efisien untuk kegunaan litar' itu mampu berputar sehingga 9,000 rpm dan menghasilkan 838 kuasa kuda dan 750 Nm daya kilas.

Sistem pancitan bahan api pula menggunakan tekanan 200 bar secara terus yang mengoptimasikan prestasi dengan memastikan kadar kecekapan maksimum dari segi termodinamik dan autonomi.

Sistem transmisi pula adalah jenis sekuential enam kelajuan yang memiliki berat sekitar 80 kg dan menampilkan klac perlumbaan jenis three sintered metal disc bagi memastikan penukaran gear dalam masa yang lebih pantas dan jitu, serta kadar kecekapan geseran 95 peratus.

 


Segala sisa pembakaran disalur ke atmosfera menerusi sistem ekzos khas yang diakhiri dengan empat tip yang disalut bahan seramik, dan sistem perpaipan dengan ketebalan kurang satu pertiga daripada versi jalanan, membolehkan anda memperdengarkan ngauman enjin V12 seperti jentera F1 yang terdahulu.

Sementara casis pula menggunakan sistem monocoque baharu yang menggandingkan teknologi komposit terkini, dan mengintegrasikan tempat duduk bagi memastikan perlindungan pada tahap maksimum.

Dengan penambahan struktur penyerap hentak unik, bar anti-oleng, rangka aloi chrome-molybdenum, casis Huayra R ini mendapat peningkatan kekakuan kilasan sebanyak 16 peratus, dan ketegaran lenturan sebanyak 51 peratus berbanding versi jalanan, dan dalam masa yang sama menawarkan berat bersih sekitar 1,050 kg sahaja.

 


Aspek aerodinamik turut diberikan tumpuan, di mana Pagani Huayra R didatangkan dengan dua liang kemasukan udara baharu bagi menyejukkan sistem btrek dan menyalurkan udara ke bahagian sisi, sistem ventilasi hud yang mampu meningkatkan kestabilan, saluran ventilasi pada atas roda, skup bumbung dengan sirip terintegrasi, diffuser dan sayap belakang yang besar.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana daya turun setinggi 1,000 kg pada kelajuan 320 km/j!

Sistem gantungan pula menggunakan unit suspensi yang dibangunkan khas terdiri daripada tetapan bebas double wishbone dengan spring gegelung, serta penyerap hentak aktif kawalan elektronik yang menggunakan bahan aluminium tempa, serta sistem geometri dan kinematik serba baharu.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim aloi aluminium monolitik APP forged bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar slick Pirelli P Zero sementara sistem brek pula menggunakan rotor brek seramik karbon Brembo bersaiz 410 mm depan dan 390 mm belakang, diikuti angkup enam omboh yang dipasang dengan pad brek perlumbaan.

 


Ruang kabin Pagani Huayra R ini pula mendapat sangkar keselamatan jenis tugas berat yang diintegrasikan sepenuhnya ke dalam casis monocoque, stereng jenis quick-release, harnesses enam poin, sistem pemadam api dan penggunaan bahan kalis api Nomex.

Selain daripada itu, terdapat paparan yang boleh disesuaikan, pedal set boleh laras AP Racing, data logger, panel kawalan sekunder yang memberikan akses kepada lampu, enjin, pemetaan suspensi serta keseimbangan brek yang diperlukan.

Hanya 30 unit sahaja Pagani Huayra R yang akan ditawarkan dengan harga jualan bermula dari €2.6 juta (RM12.75 juta), di mana setiap pemilik akan dijemput secara peribadi untuk menghadiri acara track day di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Timur Tengah, selain mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada Pagani dan pemandu professional.