Sebagai sebuah komuter, tidak dapat dinafikan keupayaan sebenar Hyundai Staria untuk membawa muatan penumpang, seperti yang pernah kami tunjukkan dalam video pandu uji ringkas sebelum ini.
Malah ia juga turut dijadikan sebagai model van kargo dan juga bas sekolah untuk kanak-kanak dengan 15 tempat duduk.
Untuk mereka yang gemarkan aktiviti di luar rumah, usah risau kerana Hyundai kini baharu sahaja melancarkan varian baharu yang dinamakan sebagai Staria Lounge Camper.
Diperkenalkan di pasaran Korea Selatan terlebih dahulu, Staria Lounge Camper boleh didapati dalam versi empat tempat duduk atau 11 tempat duduk.
Antara ciri yang dimuatkan pada model ini termasuklah khemah bumbung jenis pop-out, tilam udara, peti sejuk berkapasiti 36 liter, sinki, meja boleh lipat serta rak untuk memuatkan pelbagai barangan.
Malah, terdapat juga skrin paparan khas untuk mengawal suhu pada ruang belakang, serta butang untuk mengawal bukaan khemah bumbung.
Di bahagian luar, terdapat saluran khas untuk kepala pancuran, soket kuasa untuk pengecasan, bumbung awning yang boleh dilipat, serta jaringan penghalang nyamuk yang terletak pada bahagian pintu tailgate belakang.
Hyundai Staria Lounge Camper dijual pada harga bermula dari 49,470,000 won (RM169,657) untuk versi 11 tempat duduk, atau 68,580,000 won (RM235,195) untuk versi Camper 4.
Harga yang disebutkan di atas tidak termasuk dengan opsyen seperti sistem pacuan semua roda HTRAC, serta pelbagai pakej seperti comfort, convenience dan camping.
Untuk video pandu uji ringkas, anda boleh tonton pada pautan di bawah: