Ferrari BR20 menggunakan asas daripada model shooting brake GTC4 Lusso di mana bahagian belakang model tersebut telah dilandaikan menjadi sebuah fastback yang diinspirasikan daripada 410 Superamerica dan 500 Superfast.
Disebabkan perubahan ini juga, dua tempat duduk belakang pada model asal telah pun dibuang.
Namun tidak seperti model penderma, unit lampu BR20 ini tampil lebih kecil dimensinya, bukaan kemasukan udara yang lebih lebar, serta unit lampu DRL yang lebih nipis.
Rekaan belakang jentera ini turut merujuk kepada model-model moden Ferrari, seperti 599 GTB dan diikuti dengan unit lampu belakang berbentuk bulat.
Keempat-empat ruang arka roda telah dipenuhi dengan set rim bersaiz 20 inci yang dihasilkan khusus untuk projek one-off ini.
Ruang kabin BR20 pula menampilkan penggunaan trim kulit gelap yang lebih elegan, diikuti dengan kemasan bahan kulit, kayu dan gentian karbon pada bahagian kargo (di mana tempat duduk baris kedua yang telah dibuang).
Ferrari tidak menyebut nadi kuasa yang didatangkan pada model BR20, besar kemungkinan ia mengekalkan nadi V12 681 hp daripada model GTC4Lusso.