Ferrari Malaysia - "baru tapi lama?"

oleh HEZERI SAMSURI|
Ferrari Malaysia kini diwakili oleh sebuah syarikat baharu, Ital Auto Malaysia, yang dimiliki oleh Komoco Holdings Pte Ltd, sebuah syarikat berpengkalan di Singapura.

Komoco, yang bermaksud Korea Monopoly Corporation, memulakan sejarah perniagaan mereka seawal tahun 1985 apabila ia menjadi pengedar jenama Hyundai untuk kepulauan Temasik itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Selain dari Hyundai, syarikat itu kini mempunyai pelbagai jenama automotif lain di bawah lembayung mereka, termasuk Alfa Romeo, Ferrari, Maserati dan Jeep di Singapura.

Di China, ia menjadi wakil pengedar untuk Alfa Romeo, Maserati dan Ferrari.

Ital Auto Malaysia ialah sayap terkini gergasi automotif Singapura tersebut, yang menjadi wakil pengedar Ferrari.

Temuramah Careta bersama dengan pengurusan Ital Auto Malaysia yang diketuai oleh Zahir Kelvin Ong Abdullah selaku Pengarah Eksekutif mendapati bahawa ia pengalaman mereka untuk memastikan pemilik-pemilik Ferrari menerima perkhidmatan terbaik.

 

 

"Fokus utama kami semasa proses ambil alih Ferrari di Malaysia ialah untuk memastikan pelanggan kami kekal menerima layanan terbaik.

Itulah puncanya kami memastikan pusat servis Ferrari yang baharu disiapkan dahulu sebelum membuka dewan pameran butik di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur," terang Zahir.

Menurut  Dieter Knechtel, Presiden untuk Ferrari Timur Jauh dan Timur Tengah, mereka turut melantik seorang pengurus untuk "menjaga" segala keperluan pemilik-pemilik Ferrari di Malaysia semasa transisi itu berlaku.

Zahir kemudian menerangkan bahawa pusat servis Ferrari yang baharu di Glenmarie masih menggunakan tenaga kepakaran dari pasukan yang lama.

"Ini ialah kerana kami faham juruteknik dan mekanik Ferrari di Malaysia adalah antara yang terbaik di wilayah ini dan mereka sangat arif dengan kenderaan-kenderaan pelanggan mereka.

Menggunakan khidmat kakitangan yang lama memberikan keyakinan kepada pelanggan-pelanggan setia Ferrari. 

Namun begitu, kami memberikan mereka pusat servis yang lebih besar dan lebih lengkap, tanpa perlu berkongsi dengan jenama automotif yang lain. Muka lama, tetapi dengan prasarana serba baharu," sambung Zahir.

 

 

Paling menarik ialah pusat servis di Glenmarie itu sebenarnya adalah bersifat sementara kerana Ital Auto Malaysia mempunyai perancangan untuk membina sebuah pusat 3S Ferrari yang baharu untuk Malaysia.

"Lokasi masih dalam perbincangan tetapi ia akan menjadi pusat Ferrari yang serba modern, serba lengkap dan terbaik.

Kami juga dalam perancangan untuk mewujudkan pusat Ferrari di selatan tanahair dan juga di Pulau Langkawi, untuk memudahkan lagi pelanggan-pelanggan kami menerima khidmat lepas jualan yang lebih lengkap," terang Zahir.

Satu lagi fakta menarik berkaitan Ital Auto Malaysia ialah ia akan menggunakan kelebihan syarikat induk Singapura mereka untuk memberikan nilai pemilikan Ferrari yang lebih premium.

"Syarikat induk kami memiliki hotel-hotel mewah di seluruh dunia, contohnya di Itali dan juga di Asean. 

 

 

Pemilik Ferrari di Malaysia akan menerima keahlian Como Club Tier 6, peringkat keahlian tertinggi yang memberikan mereka akses kepada bukan setakat hotel-hotel premium, tetapi butik-butik jenama fesyen premium seperti Club 21, Armani, Donna Karen dan DKNY," sambung Zahir.

Mungkin ini ialah kelebihannya bila jenama Itali itu kini dipegang oleh jutawan Singapura, Datok Ong Beng Seng (anak kelahiran Ipoh) dan isterinya, Christina Ong.

Secara ringkas, pemilikan Ferrari di Malaysia kini bukan hanya menerima fokus dalam dunia automotif, tetapi turut menerima keistimewaan lain dari segi percutian mewah dan akses membeli-belah di butik-butik premium di seluruh dunia.

 

Como Castello Tuscany, antara hotel mewah milik konglomerat Singapura itu.

 

 

 

Berita Berkenaan

Informasi
Pada tahun 2016, Ferrari mendakwa ia mempunyai jumlah pelanggan tiga kali lebih ramai daripada…
Berita Domestik
Pusat pameran seluas 3,826 kaki persegi itu menyediakan ruang pameran yang dapat memuatkan dua buah…
Pelancaran
Dimensi Ferrari Purosangue membawakan ukuran sepanjang 4,973 mm, lebar 2,028 mm, tinggi 1,589 mm…