Perubahan pada bahagian luaran dimulakan dengan penampilan bampar reka bentuk baharu, corak gril Infinite Weave dan Ethereal Bow yang telah dikemaskan, serta logo Proton serba baharu berbentuk bulat.
Antara ciri-ciri baharu yang dimuatkan termasuklah lampu hadapan LED automatik, rim aloi bersaiz 16 inci, lampu gabungan belakang baharu, serta penampilan bumbung berwarna hitam.
Untuk Proton Iriz, Proton telah menambah varian baharu 'Active' dengan penampilan ala-ala crossover yang lebih bergaya dan sporti, di mana bahagian arka roda menampilan pemasangan cladding plastik, diikuti dengan pemasangan rel bumbung, dan penawaran warna baharu Citric Orange dan Passion Red.
Perubahan yang ketara dibawakan pada ruang kabin, di mana kedua-dua Iriz dan Persona kini menampilkan konsol tengah serba baharu lengkap dengan perehat lengan, tempat meletak cawan yang ditambah, skrin infotainmen jenis terapung lapan inci dengan fungsi arahan suara yang mampu mengawal sistem pendingin hawa, dan tingkap sebelah pemandu, serta unit kawalan pendingin hawa jenis digital.
Tidak ketinggalan, sistem penapisan udara N95 yang didatangkan secara standard.
Proton Iriz Active pula didatangkan dengan pedal aluminium, kemasan warna aksen merah, sulaman Active pada kerusi hadapan, trim pintu dan karpet, diikuti dengan jahitan kontras pada roda stereng dan tali pinggang keledar.
Sementara sedan Proton Persona pula didatangkan dengan kemasan kulit leatherette berwarna perang sama seperti Proton X70.
Unit enjin pula masih lagi mengekalkan enjin 1.3 liter yang menghasilkan 95 PS dan 120 Nm untuk varian Proton Iriz Standard CVT, dan enjin 1.6 liter yang menghasilkan 109 PS dan 150 Nm khusus untuk varian Iriz Executive CVT dan Active CVT, serta keseluruhan penawaran Proton Persona 2022.