Bersempena dengan ulang tahun yang ke-70 Land Cruiser, Toyota menerusi program GR Heritage Parts Project kini memulakan inisiatif untuk memproduksikan semula alat ganti untuk SUV Land Cruiser 40 Series (BJ40).
Menariknya, Toyota memulakan inisiatif ini dengan mengendalikan laman soal selidik khusus bersama para pemilik asal BJ40 dari seluruh dunia untuk mengenal pasti komponen alat ganti yang perlu diproduksikan semula.
Tidak mengejutkan apabila pemintaan yang tinggi datangnya daripada komponen enjin, aspek pemanduan, serta sistem ekzos di mana Toyota bakal menawarkan alat ganti ini bermula tahun depan.
Ini sudah pasti merupakan satu berita gembira buat para pemilik model BJ40.
Selain daripada itu, Toyota juga diberitakan masih lagi memproduksikan Land Cruiser 70 Series untuk sesetengah pasaran disebabkan permintaan yang masih kuat, walaupun Land Cruiser generasi baharu 300 Series sudah pun dilancarkan baru-baru ini.
Sebelum ini, inisiatif GR Heritage Parts Project sudah pun dimulakan untuk model-model klasik seperti Supra A70, Supra A80 serta Toyota 2000GT.