Plet nama Land Cruiser sah kembali ke pasaran Amerika Syarikat

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa tahun lepas, Toyota Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk menghentikan penawaran generasi baharu Land Cruiser 300 Series, salah satu faktor adalah disebabkan oleh prestasi jualan yang semakin merudum.

Alternatifnya, para pembeli di pasaran tersebut boleh mendapatkan kembar Land Cruiser generasi baharu dalam bentuk Lexus LX yang lebih mewah.

Namun dalam satu perkembangan terbaharu, laman Facebook Toyota USA mengumumkan kemunculan semula plet nama lagenda tersebut untuk pasaran Amerika Syarikat.

 


Besar kemungkinan Land Cruiser 300 Series tidak akan muncul, sebaliknya ia akan digantikan dengan Land Cruiser Prado generasi baharu yang menggunakan platform body-on-frame Lexus GX 2024, berdasarkan laporan daripada Automotive News.

SUV yang bersaiz lebih kecil berbanding Land Cruiser itu juga dijangka akan menggugurkan akhiran "Prado" untuk pasaran tersebut.

Sama seperti Lexus GX, Land Cruiser Prado generasi baharu itu dijangka akan membawakan dimensi yang lebih besar berbanding generasi terdahulu, diikuti dengan rekaan luaran yang berpetak.
 

Lexus


Dijangka Prado baharu ini juga akan mendapat nadi V6 3.4 liter menghasilkan 349 hp yang dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

Berdasarkan garis masa penjualan Lexus GX yang dijadualkan bermula tahun depan seperti yang diumumkan sebelum ini, besar kemungkinan Prado generasi baharu ini akan diperkenalkan pada lewat tahun ini, dan mula dijual seawal Januari 2024.

Sumber: FB Toyota USA, Automotive News