Teaser pertama tidak menampilkan sebarang butiran yang lebih jelas, apa yang boleh dilihat adalah sebuah sedan berwarna jingga dengan kehadiran ciri spoiler lid disebalik gumpalan habuk jalanan yang dihasilkan oleh sedan tersebut.
Namun, video teaser kedua yang lebih panjang mendedahkan beberapa butiran yang lebih jelas, seperti contoh takometer dengan garis merah 6,100 rpm (berbanding 6,700 rpm pada model terdahulu).
Ciri yang lebih ketara diperlihatkan adalah pemasangan cladding plastik pada arka roda serta jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi mengingatkan kita kepada model konsep Viziv STI yang hadir pada tahun 2018.
Beberapa laporan terdahulu daripada Jepun mencadangkan Subaru bakal menggunakan enjin baharu FA24 versi dipertingkatkan yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 296 hp dalam versi WRX standard, atau 345 hp dalam perisa WRX STi.
Subaru WRX 2022 bakal diperlihatkan menerusi acara New York International Auto Show pada 19 Ogos ini.