Katanya, Berjaya Air dan Smooth Route komited untuk mengambil ruang tambahan yang ditawarkan di kemudahan baharu itu.
"Oleh itu, kelulusan kerajaan untuk pelan pembangunan semula LTSAAS dalam tempoh terdekat amat penting untuk memenuhi keperluan pengembangan penggiat industri ini," katanya.
MAHB berkata, tapak yang menempatkan Terminal 2 sebelum ini diperuntukkan untuk dibangunkan semula menjadi hangar untuk menampung penempatan semula dan pengembangan penyewa-pengendali penerbangan perniagaan sedia ada di lapangan terbang itu.
"Seluruh program atau langkah penempatan semula penyewa akan dilakukan secara berperingkat untuk merobohkan struktur hangar lama dan membina yang baharu sebagai ganti.
"Pembangunan semula bekas tapak Terminal 2 menjadi hangar akan berfungsi sebagai fasa pertama yang penting untuk langkah penempatan semula penyewa ini.
"Hangar baharu ini akan dibangunkan untuk memenuhi keperluan operasi penyewa serta mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan pihak berkuasa," katanya.
Tambah MAHB, pembangunan semula itu akan turut menyumbang kepada peningkatan kapasiti secara keseluruhan Subang Aerotech Park sebanyak 280 peratus.
"Ini akan meneruskan hasrat Malaysia untuk menjadikan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan pilihan di Asia Pasifik (APAC)," katanya.
Sementara itu, Ketua KLIA Aeropolis MAHB Randhill Singh, berkata pembangunan semula itu memanfaatkan kedudukan semasa Malaysia sebagai pangkalan keempat terbesar untuk kumpulan jet perniagaan di APAC.
Ia juga, katanya, berfungsi sebagai pemangkin dalam mengembangkan pasaran penerbangan perniagaan tempatan hampir tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Oleh itu, pelan pembangunan semula akan mengukuhkan kedudukan LTSAAS sebagai hab penerbangan perniagaan untuk rantau ini.
"Rakan penerbangan kami yang diiktiraf di peringkat antarabangsa akan menjadi pendorong utama menjadikan LTSAAS sebagai sebuah lapangan terbang yang kompetitif dalam landskap penerbangan.
"Kami mahu merebut peluang ini dan kekal komited membangunkan industri aeroangkasa serta penerbangan perniagaan untuk negara," katanya.