Umum juga mengetahui bahawa rekaan sebenar versi produksi Nissan Z (atau Nissan 400Z berdasarkan sesetengah sumber) tidak lari jauh daripada versi konsep menerusi gambar bocor yang diperoleh pada penghujung bulan tiga yang lalu.
Namun, ini merupakan kali pertama kelibat jentera sports FR Nissan itu dikesan meluncur atas jalan raya berdasarkan video yang diterbitkan oleh saluran Youtube Drive 615, di mana ia sedang dipandu untuk menyertai acara Nashville Cars and Coffee baru-baru ini, diiringi dengan dua buah Nissan Frontier.
Sukar untuk kita mendengar dengan teliti runut bunyi yang dihasilkan oleh Nissan 400Z ini, namun difahamkan versi produksi Nissan Z ini bakal didatangkan dengan enjin V6 turbo berkembar yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 400 hp dan 474 Nm.
Bukan itu sahaja, nama rasmi jentera FR Nissan ini juga tidak akan menggunapakai '400Z', sebaliknya Nissan diberitakan akan menggunakan nama Nissan Z sahaja di peringkat global, manakala nama 'Fairlady Z' akan digunakan di pasaran Jepun.
Pelancaran rasmi Nissan Z ini dijadualkan berlangsung lewat tahun ini sebelum menyerang pasaran utama pada musim bunga tahun hadapan.