Menyedari perkara itu, Touch 'n Go Sdn Bhd (TnG) tampil dengan dua pengumuman baharu pada Jumaat lalu.
Pengumuman pertama ialah, tiada lagi tambah nilai kad berkenaan di mana-mana kaunter, sebaliknya boleh menambah nilai secara dalam talian menggunakan aplikasi TNG eWallet.
Perkara itu bagaimanapun akan bermula pada akhir tahun ini.
Selain itu, TnG turut memansuhkan surcaj parkir yang dikenakan apabila pengguna menggunakan kad TnG ketika memasuki kawasan tempat letak kenderaan menjelang suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas pengguna.
"Kami dengar apa yang pelanggan mahukan. Pelanggan ingin menambah nilai kad menggunakan eWallet, kami cuba lakukan.
"Pelanggan tidak mahu bayaran letak kenderaan tambahan, kami akur," katanya yang dipetik menerusi laporan portal berita The Star.
Dalam pada itu, Effendy menambah, pihaknya juga dalam penelitian untuk memansuhkan kadar caj fi sebanyak 50 sen yang dikenakan pengguna ketika menambah nilai di lokasi terpilih.