Salah satu contoh yang dibawakan adalah dari Motion R Design yang berpengkalan di Lancashire.
Motion R Design sebelum ini memiliki kepakaran menghasilkan kit-kit badan untuk model van Ford Transit dan Ford Ranger, akan tetapi mereka kali ini mengambil jalan yang berbeza terhadap crossover elektrik Blue Oval ini.
Antara perubahan yang ketara dibawakan adalah pemasangan 'gril' baharu, set rim kustom, spoiler liftgate, serta kit badan lebar yang merangkumi bampar hadapan dan belakang serba baharu, diffuser, serta arca roda yang menambahkan kelebaran crossover tersebut.
Kit badan ini boleh didapati menggunakan bahan gentian karbon tradisional, atau opsyen karbon forged.
Walaupun tidak menampilkan sebarang gambar ruang dalaman, Motion R Design akan menawarkan naik taraf upholsteri kulit Nappa penuh, roda stereng bawah rata daripada gentian karbon serta opsyen panel dalaman pintu daripada bahan yang serupa.
Aspek trenkuasa pula tidak disentuh, memandangkan di dalam keadaan yang cukup standard kilang, versi tertinggi Mustang Mach-E GT Performance Edition mampu menghamburkan angka output 480 hp dan 860 Nm, membenarkan pecutan sepantas 3.5 saat dari 0-100 km/j.