Ford Mustang Mach-E untuk kegunaan rali - 480 hp, 881 Nm, 0-96 kmsj 3.5 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa bulan yang lepas, Ford ada memperlihatkan SUV elektrik yang dibangunkan khusus untuk sukan rali, iaitu Ford Mustang Mach-E Rally di Goodwood Festival of Speed.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kini, perincian berkenaan SUV rali itu telah didedahkan sepenuhnya oleh Ford, di mana ia membawakan konfigurasi trenkuasa elektrik dengan dua motor elektrik yang menawarkan sistem pacuan semua roda.

Secara keseluruhan, Mustang Mach-E Rally ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 480 hp dan 881 Nm, dengan prestasi pecutan 0-96 km/j mengambil masa sepantas 3.5 saat sahaja.
 

Mach-E


Pek bateri berkapasiti 91 kWh pula membenarkan jarak pemanduan off-road sejauh 402 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Ciri standard yang dimuatkan pada SUV rali ini termasuklah rim aloi bersaiz 19 inci berwarna putih, sistem brek Brembo dengan rotor depan bersaiz 385 mm, lampu kabus rali, serta spoiler belakang yang diinspirasikan daripada Ford Focus RS.

Ford memadankan getah Michelin CrossClimate2 bersaiz 235/55 R19 dengan dinding sisi yang lebih banyak berbanding tayar standard pada Mach-E yang lain.
 

Mach-E


Sistem suspensi juga telah ditala semula, di mana ia menawarkan tambahan jarak lega bumi sebanyak 20 mm berbanding Mach-E GT, dibantu dengan penyerap hentak MagneRide.

Sebagai sebuah jentera rali, Mustang Mach-E Rally turut mendapat perlindungan tambahan pada bahagian motor depan dan belakang, filem perlindungan pada plastik cladding dan arka roda, serta opsyen pemasangan mud flap.
 

mach-E


Cuma bahagian kabin dilihat membawakan susun atur yang hampir sama dengan model Mach-E jalanan, hanya dibezakan menerusi aksen putih berkilat pada papan pemuka dan roda stereng, serta jahitan kontras pada panel pintu.

Untuk memudahkan urusan pemanduan di atas laluan bertanah, Mustang Mach-E Rally ini dibekalkan dengan mod RallySport yang sememangnya direka untuk pemanduan off-road.

Menurut Ford, mod ini membenarkan SUV ini melakukan aksi gelongsor yang lebih agresif, respons pendikit yang lebih linear, serta aspek penyerap hentakan yang lebih terkawal untuk pengendalian yang lebih berkesan di selekoh.
 

Mch E


Sebelum dilancarkan kepada umum, unit prototaip SUV rali ini telah 'dibelasah' teruk oleh para jurutera dan juruteknik di laluan sejauh 805 km, dengan menggunakan Subaru WRX sebagai penanda aras.

Ford Mustang Mach-E boleh didapati dalam warna Grabber Blue, Shadow Black, Eruption Green, dan Grabber Yellow, sementara warna Star White dan Glacier Gray pula memerlukan tambahan kos.

Ia bakal dijual di pasaran Amerika Utara dan Eropah pada separuh pertama tahun 2024, dengan harga jualan bermula dari $65,000 (RM304,103).

Berita Berkenaan

Berita Global
  Di dalam sejarah hampir enam dekad, ini kali pertama Ford membawakan tema rali untuk Mustang.…