Produk tersebut dinamakan sebagai EZ-1 Prototype sekaligus merangkap model pertama di bawah jenama baharu Renault Group, Mobilize.
Mobilize bakal menawarkan pelbagai jenis kenderaan yang direka khusus untuk perkhidmatan mobiliti seperti contoh pengecasan EV, kewangan dan langganan, serta pembangunan perkara yang berkaitan seperti perisian pemprosesan data, penyelenggaraan, serta perkhidmatan kitar semula untuk fleet perkongsian kenderaan.
Difahamkan, terdapat empat model baharu yang bakal diperkenalkan oleh Mobilize bagi merangkumi perkhidmatan perkongsian kenderaan dan penghantaran batuan terakhir.
Berbalik semula kepada EZ-1 Prototype, ia merupakan sebuah EV mini dua tempat duduk dengan dimensi 2.3 meter dan menampilkan pintu kaca (masih ingat Renault Twizy?) yang besar untuk pengguna menikmati pemandangan urban yang sempurna.
Mobilize EZ-1 dikatakan diperbuat daripada 50 peratus bahan kitar semula dan ia dapat dikitar semula 95 peratus apabila sampai akhir hayat apabila dihantar ke fasiliti Renault Re-Factory di Flins.
Tambahan pula, Mobilize EZ-1 mempunyai ciri inovatif iaitu sistem penukaran pek bateri sebagai alternatif kepada infrastruktur pengecasan tradisional supaya ia mampu terus digunakan tanpa henti tanpa perlu menunggu untuk dicas.
Menerusi aplikasi peranti pintar pula, pengguna boleh menambatkannya kepada peranti pintar serta menjalankan beberapa fungsi seperti mengunci, nyahkunci, dan pelbagai fungsi lain yang menarik.