Symbioz tampil kemas dan bergaya tanpa ciri-ciri yang radikal. Lampu belakang juga tanpa bentuk sepit ketam seperti Captur.
Walaupun begitu, permukaan belakang tampil berlekuk dan beralun. Dua ciri tersebut juga diguna pada bahagian sisi namun lebih sederhana.
Satu daripada ciri yang membentuk kekemasan Symbioz ialah perkadaran badan yang baik.
Rekaan sebegini iaitu adunan di antara tak berwaktu (timeless) dan dinamik mungkin dapat bertahan lama.
Saiz dan berat Renault Symbioz:
- Ukuran (mm): 4,413 (p) x 1,797 (l) x 1,575 (t)
- Jarak roda (mm): 2,638
- Kelegaan bumi (mm): 169
- Berat (kg): 1,500
- Ruang but (l): 492, 624, 582 (kerusi dibaringkan)
Satu kelebihan Symbioz ialah kerusi belakang boleh dianjak lebih 16 sentimeter untuk ruang lutut sebanyak 221 milimeter (mm). Kerusi Captur juga boleh ditolak ke depan dan belakang.
Bukan sahaja rupa depan, papan pemuka, stereng dan konsol tengah Symbioz juga mengingatkan kepada Captur. Ringkas dan bergaya.
Skrin tengah dalam bentuk menegak berukuran 10.4 inci dan skrin 10.3 inci untuk pemandu.
Bumbung kaca suria yang dipanggil Solarbay menggunakan teknologi AmpliSky dan tidak memerlukan bidai atau pelindung.
Sistem yang beroperasi secara aktif menggelapkan cermin menggunakan teknologi Polymer Dispersed Liquid Crystal (PDLC) di mana struktur molekul bertindak balas kepada arus elektrik.
Bumbung suria pintar juga boleh dikawal menggunakan suis atau arahan suara.
Pemandu atau penumpang mempunyai empat pilihan iaitu telus, kabur, telus depan - kabur belakang dan sebaliknya.
Tanpa bidai atau pelindung, ruang kepala bertambah sebanyak 30 mm.
Berkenaan rangkaian kuasa, nadi 100 peratus elektrik diserahkan kepada Megane E-Tech dan Scenic E-Tech manakala Symbioz kekal dengan enjin biasa dan motor elektrik.
Rangkaian kuasa E-Tech 145 menggabungkan enjin 1.6 liter petrol, motor elektrik 36 kilowatt (kW) dan Penjana Penghidup Voltan Tinggi (HSG) 18 kW dan bateri 1.2 kilowatt-jam (kWj).
Kotak gear jenis 'dog box' tanpa cekam pintar pelbagai mod yang mempunyai dua gear untuk enjin dan dua gear untuk motor elektrik utama.
Symbioz mula bergerak dalam mod elektrik dan enjin mengambil alih tugas memacu roda pada jalan terbuka atau lebuh raya.
Butang E-Save pada stereng mengekalkan cas bateri pada tahap minimum 40 peratus untuk prestasi optimum dan membantu ketika perlu seperti mendaki.
Symbioz juga mempunyai fungsi pemanduan hibrid jangkaan yang memaksimumkan penggunaan kuasa elektrik berbanding enjin untuk penjimatan bahan api.
Sistem beroperasi menggunakan maklumat dari pemetaan berhubung dan mengambil kira beberapa keadaan seperti rupa bumi (bukit/curam), tempoh perjalanan dan keadaan trafik.
Dari segi keselamatan, sistem Active Drive Assist berada pada Tahap 2 pemanduan autonomi.
Di dalam barisan SUV Renault, Symbioz diletakkan di antara Captur dan Austral. Tempahan untuk pelanggan di United Kingdom dibuka pada Julai.
Penulis: Muhammad Md Tajudin