Sebenarnya, imej-imej yang tular itu ialah dari Nippy Normans, syarikat yang menjual pelbagai aksesori untuk pemilik BMW.
Menurut laman web nippynormans.com, Norman Birtles, pengasas syarikat itu berkata beliau terlihat model R18 di Milan tahun lalu dan terus terbayangkan enjin boxer 1,800cc itu jika dimasukan ke dalam BMW GS.
Semasa PKP, beliau meminta Kar Lee, seorang pelukis grafik yang telah banyak menghasilkan motosikal-motosikal konsep untuk menghasilkan GS dengan enjin besar itu.
Hasilnya ialah R1800 GS dengan dua varian - Touring dan Adventure.
Varian touring datang dengan roda aloi untuk pengendalian yang lebih mantap, lampu LED lebih sporty dan peredam bunyi ekzos Akrapovic.
Adventure pula kelihatan seperti model R1250 GS sekarang, dengan roda jejari lidi dan panniers.
Kedua-dua varian ini memang hanya wujud dalam dunia komputer sahaja tetapi tidak mustahil untuk BMW menghasilkan sebuah motosikal genre ADV yang seberat setengah Peroda Kancil agar "mudah" bagi "peminat tegar" ADV mengangkat motosikal mereka jika terjatuh di dalam hutan.
Atau mungkin juga ia sesuai untuk penunggang ADV yang berpakaian lengkap bagi ekspedisi 100 peratus di atas jalan bertar.