Kali ini, kami membawakan contoh sebuah RV moden yang boleh anda dapatkan (sekiranya tahu lubang yang sesuai), iaitu Wonder Rear Lounge yang dibangunkan berdasarkan Ford Transit oleh Leisure Travel Vans.
Syarikat Leisure Travel Vans sebelum ini telah memperlihatkan contoh konsep Wonder Rear Lounge di dalam casis sebuah Mercedes-Benz Sprinter tahun lalu.
Namun, walaupun bertukar platform daripada Mercedes kepada platform Ford, Leisure Travel Vans tidak mengubah secara drastik pelan lantai RV tersebut pada model baharu.
Ini termasuklah ruang dalaman yang agak luas, serta seksyen rehat unik yang menampilkan binaan tingkap daripada aras lantai sehinggalah ke aras siling.
Ruang ini menempatkan sofa untuk kegunaan aktiviti santai pada siang hari dan anda boleh menarik keluar katil untuk tujuan berehat di malam hari.
Sementara itu, ruang hadapan juga menempatkan sebuah tempat dapur, struktur meja yang boleh dilipat dan dialihkan serta kedudukan kerusi baris hadapan yang boleh berubah arah untuk menikmati makanan.
Zon tengah pula menempatkan bilik air yang mengasingkan antara dua seksyen itu tadi, serta kabinet storan untuk tujuan penyimpanan barang dengan lebih tersusun.
Casis Ford Transit yang digunakan ini hadir dengan enjin bentangan V6 3.5 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan angka output 310 kuasa kuda dan 542 Nm daya kilas, dan pembeli boleh mendapatkan ciri opsyen pacuan semua roda yang boleh dikatakan agak asing utuk sebuah RV.
Selain daripada itu, ciri keselamatan terkini turut tersedia seperti amaran pra-pelanggaran, bantuan pra-pelanggaran, brek kecemasan automatik, brek pasca-pelanggaran, bantuan pengekalan laluan serta penstabilan angin sisi yang agak berguna untuk sebuah RV dengan sisi badan yang agak tinggi ini.
Sistem infotainmen pula adalah daripada jenis SYNC3 tipikal Ford dengan skrin sentuh bersaiz lapan inci dan penawaran sistem navigasi terbina dalam.