Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata polis sedang memperhalusi butiran pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan PKPP.
"Pihak saya sedang memperhalusi butiran pengumuman Perdana Menteri tadi. Insya-Allah menjelang 9 Jun nanti, kami akan dapat menetapkan bentuk penugasan baharu.
"Buat masa ini, SJR sepanjang tempoh PKPP jelas sudah tidak ada keperluannya lagi kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau akan berbincang dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.
"Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada arahan penjarakan sosial.
"Kita mesti ingat bahawa kemenangan melawan COVID-19 masih belum muktamad," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pelaksanaan PKPP menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara berterusan termasuk perjalanan rentas negeri.
Sumber: Berita Harian