Hal ini dilihatkan menerusi satu video teaser terbaharu yang diterbitkan menerusi laman Youtube rasmi Kawasaki, di mana motosikal tersebut diuji di atas litar menggunakan transmisi manual.
Transmisi manual bukan sahaja membenarkan motosikal untuk mencapai julat kelajuan yang lebih besar, malah ia turut membolehkan penunggang memperoleh input yang lebih banyak ketika mengoperasikan jentera tersebut, menurut Kawasaki.
Difahamkan, motosikal elektrik Endeavor ini akan menghamburkan kuasa sekitar 26 kuasa kuda dan daya kilas segera yang diperoleh daripada bateri lithium ion.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menggunakan rantai (chain-driven) menerusi transmisi manual empat nisbah kelajuan.
Kawasaki juga turut menjamin motosikal elektrik yang dibangunkan di atas litar ini bakal menjadi sebuah produk yang ringan, responsif dan mampu mengujakan penunggang, dan memandangkan saiz pek bateri yang relatifnya lebih kecil berbanding pek bateri kereta, ia dijangka menawarkan masa pengecasan yang lebih singkat.
Dari segi luaran, ia seakan motosikal biasa Kawasaki dengan gabungan elemen daripada Z400 dan Z650 serta reraup penuh yang diinspirasikan daripada keluarga Ninja.