Bentangan tersebut adalah refleksi kepada bahasa reka bentuk baharu Nissan iaitu Timeless Japanese Futurism yang turut diserlahkan pada bahagian depan kereta.
Menurut Pengurus Kanan bahagian kejuruteraan HMI Nissan, Tomomichi Uekuri, mata manusia secara asasnya memandang dari sisi ke sisi apabila memandu.
Manusia boleh menyerap lebih banyak maklumat apabila dibentangkan secara melintang.
Selain menyampaikan maklumat lebih baik kepada mata manusia, bentangan tersebut juga berada pada kedudukan lebih selamat iaitu selari dengan pandangan dan dekat pada jalan raya.
Skrin itu dipadankan dengan gayaan berbentuk melintang pada kabin Ariya dan nampak sekata dengan papan pemuka.
Pereka Nissan memanggilnya sebagai engawa iaitu ruang di antara di mana seseorang itu berada dan arah tujuannya.
Maklumat pemanduan pada skrin tersebut disusun mengikut aturan sama seperti kereta tradisional dan turut mengandungi maklumat lain seperti hiburan, kawalan keselesaan dan status sistem kenderaan.
Selain itu, maklumat yang dipapar boleh digeser di antara dua skrin menjadikannya seperti skrin tunggal.
Sebagai contoh, paparan arah dan peta di sebalik stereng boleh ditetapkan di sebalik stereng atau pada bahagian tengah skrin atau dihilangkan terus apabila tidak diperlukan.
Penulis secara peribadi bersetuju dengan pendapat Nissan kerana tumpuan pemandu sepatutnya di jalan raya.
Skrin yang terlalu besar, meriah dengan warna-warni dan grafik dikhuatiri menganggu tumpuan pemandu.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Kredit foto: Nissan