Dilihat dari dekat, corak jeriji berbentuk koma dan diselaputi warna hitam kilat. Koma atau bumerang, Nissan gemar bentuk sebegitu.
Lampu depan Nissan diasah lebih tajam dan bahagian jeriji ditempatkan lampu nyalaan siang (DRL) yang dibentuk daripada lima koma.
Bampar depan berlekuk ala tiga dimensi (3D) manakala lampu belakang kekal dengan bentuk lama kecuali bahagian dalam yang sekali lagi membawa corak koma.
Bampar belakang ditukar dan dibuat dalam warna hitam kilat atau sama warna badan bergantung pada varian. Saiz rim 18 inci, 19 inci dan 20 inci juga bergantung pada varian.
Bagi model 2024, Nissan menambah varian baharu N-Design yang menyerlah dengan warna sisi bawah dan lingkungan roda sepadan seperti badan selain rim besar 20 inci.
Nissan menawarkan lima warna iaitu Pearl White, Deep Ocean, Fuji Red, Magnetic Blue dan Ceramic Grey yang kesemuanya boleh dipesan bersama bumbung hitam.
Pada bahagian dalam, Nissan sekali lagi berjaya mengangkat Qashqai 2024 seperti model baharu.
Varian terpilih dibalut Alcantara® pada papan pemuka, panel pintu dan beberapa perkakasan lain. N-Design istimewa dengan kerusi balutan kulit hitam dan riasan Alcantara®.
Varian terpilih juga dilengkapi lampu suasana berwarna merah, hijau dan biru. Teknologi Around View Monitor (AVM) dipertingkat dan menggunakan empat kamera.
Paparan pada skrin menunjukkan pandangan mata burung dan turut mempunyai fungsi 3D dan pemandu boleh memilih satu daripada lapan sudut kamera luar.
Fungsi itu memaparkan kereta dari depan, belakang, sisi atau sudut bagi mengenalpasti sebarang halangan dan beroperasi bersama sistem Pengesanan Objek Bergerak.
Lagi fungsi seperti invisible hood view untuk melihat kedudukan roda depan dan Parking Spot Location Memory yang menyimpan lokasi parkir menggunakan GPS.
Nissan turut mengubah rekaan pada skrin TFT pemandu selain fungsi mod minimal bagi mengurangkan gangguan pada pemandu.
Untuk bantuan pemanduan, sistem Pembrekan Kecemasan Autonomi ditentukur supaya lebih cekap dalam pengesanan risiko dan bertindak balas.
Perubahan itu merangkumi Brek Kecemasan Depan, Brek Kecemasan Depan Pejalan Kaki - Penunggang Basikal dan Brek Kecemasan Pintar.
Turut dipertingkat sistem Bantuan Kelajuan Pintar. Sistem Pengekalan Lorong Kecemasan Lorong kini diaktifkan secara automatik.
Sistem memicu operasi Amaran Penukaran Lorong dan Pencegahan Penukaran Lorong pada kelajuan melebihi 60 kilometer sejam (km/j).
Buka tukup dan terpampang logo Nissan e-POWER yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo tiga silinder dan perkakasan elektrik.
Enjin berfungsi sebagai penjana tenaga elektrik yang dihantar melalui penyongsang kepada motor elektrik 140 kilowatt (kW) atau bateri 1.8 kilowatt-jam (kWj) atau kedua-dua sekali.
Tiada kotak gear pada e-POWER dan roda hanya digerakkan motor elektrik.
Sejak dilengkapi pada Qashqai dan X-Trail pada September 2022, Nissan berjaya menjual lebih 100,000 model e-POWER di Eropah.
Satu atau dua lagi pilihan ialah enjin 1.3 liter turbo dengan teknologi mild-hybrid dengan kuasa 140 ps atau 158 ps.
Enjin dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan atau CVT XTronic dan pilihan pacuan semua roda (AWD).
Penulis: Muhammad Md Tajudin