Dalam kenyataan akhbar yang diberikan, mereka berkata pusat 3S yang mempunyai empat tingkat itu mempunyai ciri-ciri moden telah mendapat inspirasi daripada warisan budaya yang diilhamkan daripada jenama Scandinavia dan mematuhi standard runcit Volvo Car – Volvo Retail Experience.
“Ia adalah Pusat 3S yang pertama dilengkapi Studio Realiti Maya dan RATC (Reception at The Counter) Bay,” katanya.
Pusat 3S itu direka untuk memberikan pengalaman mewah gaya kontemporari, menampilkan bilik pameran dan pusat servis di aras bawah, lengkap dengan kawasan perincian kereta, yang terletak di aras dua dan tiga.
Zon penjajaran dan pengimbangan tayar terletak di aras empat dan semua ruang tempat letak kereta pelanggan akan turut dilengkapi dengan pengecas kenderaan elektrik.
Pusat itu akan menjadi bengkel pertama di Malaysia dilengkapi pendingin hawa sepenuhnya, dengan pasukan selepas jualan berkemahiran tinggi seramai 18 orang, 14 di ruangan baik pulih dan servis, manakala dua khusus bagi RATC Bay.