Dilancarkan serentak bersama-sama Toyota Raize pada 5 November lalu, Daihatsu Rocky tidak membawakan sebarang bentuk perbezaan dari segi platform DNGA, dimensi dan juga aspek teknikal.
Enjin tiga silinder sebaris berkuasa turbo 1.0 liter itu juga kekal dengan kuasa 97 hp dan daya kilas 140 Nm yang digandingkan dengan transmisi D-CVT.
Cuma apa yang membezakan antara kedua-dua model ini adalah Daihatsu Rocky membawakan dimensi gril yang sedikit kecil dan rekaan bumper hadapan yang berlainan berbanding Toyota Raize.
Daihatsu Rocky juga turut membawakan tiga rekaan luaran yang lebih agresif di mana terdapat pilihan Powerful Style, Sporty Style dan juga Elegance Style untuk dipadankan mengikut kehendak pelanggan.
Kit Sporty terdiri daripada beberapa aksesori termasuklah lip hadapan, skirt sisi, lip belakang serta spoiler, dengan beberapa tambahan seperti kemasan hitam berkilat pada perumah lampu kabus, penutup tangki gentian karbon serta rim aloi 16 inci.
Ruang dalaman pula mendapat banyak elemen merah menguasai beberapa tempat seperti ruang pemegang pintu, ruang tombol gear, dan warna kontras pada balutan kulit hitam tempat duduk.
Untuk pakej Elegance Style pula, elemen krom menguasi segenap penjuru seperti lip hadapan, lip belakang, gril radiator, serta trim tailgate dengan opsyen untuk bahagian seperti moulding pintu, pelindung cermin sisi, trim fender, perumah lampu kabus dan rim aloi 16 inci dua tona.
Sementara itu untuk ruang dalaman pula, pengguna akan mendapat upholsteri kemasan kulit dengan kontras berwarna putih.