Spesifikasi Rocky e-Smart Hybrid 2022 tertiris - pelancaran rasmi November ini

oleh Mohamad Hanif|
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, SUV cilik Daihatsu Rocky bakal mendapat trenkuasa baharu yang digelar sebagai e-Smart Hybrid.

Namun, sebelum pelancaran rasmi dibuat pada bulan November ini, maklumat berkenaan trenkuasa baharu itu telah tertiris lebih awal, membolehkan kita mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan penawaran terbaharu Daihatsu itu.

Menurut slaid persembahan yang digunakan oleh pengedar, Daihatsu Rocky 2022 bakal dilengkapi dengan opsyen trenkuasa hibrid e-Smart yang terdiri daripada enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter (kod nama WA-VEX) yang dipadankan dengan bantuan motor elektrik.

Enjin 1.2 liter (dengan kod nama WA-VE) ini sebenarnya turut ditawarkan pada model Rocky di Jepun, di mana ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 86 PS dan 105 Nm

Sistem hibrid ini mempunyai mekanisme yang hampir serupa dengan trenkuasa e-Power Nissan - menggunakan 100 peratus kuasa pergerakan daripada motor elektrik, di mana enjin 1.2 liter itu tadi hanyalah bertindak sebagai unit penjana kuasa sahaja.
 

Rocky


Menurut Daihatsu, kuasa yang dihamburkan oleh trenkuasa hibrid itu tadi dikatakan mampu menyamai kuasa SUV kelas kompak dengan sesaran enjin 1.5 liter, serta mampu menawarkan penggunaan bahan api yang jauh lebih jimat.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid juga bakal menampilkan sistem pemanduan pedal tunggal yang boleh diaktifkan menerusi butang S-PDL di mana ia mampu mengaktifkan sistem brek regeneratif ketika pedal pendikit diangkat.

Yang paling penting, sistem ini menawarkan kadar NVH yang jauh lebih baik disebabkan sistem mengutamakan operasi motor elektrik ketika pemanduan berkelajuan rendah, ditambah pula dengan penambahan bahan penyerap bunyi pada bahagian hud enjin, serta tiga lapisan bahan penebat bunyi pada papan pemuka.

 

Rocky


Sesuai untuk pemanduan di dalam kawasan urban, dan Daihatsu menambah, tahap kesenyapan ini membuatkan perbualan menjadi lebih mudah dan menyenangkan tanpa perlu meninggikan suara.

Maklumat lanjut bakal diketahui dengan lebih teliti menjelang pelancaran rasminya bulan November ini.

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Jadi, adalah tidak menghairankan apabila Daihatsu diberitakan akan mengemaskini penawaran crossover…
Berita Global
Selain daripada mengadaptasikan kaedah produksi berkos rendah yang dibangunkan di Jepun untuk…
Berita Global
Mana lagi nak mencari sebuah pakej SUV off-road yang comel, moden dan masih lagi berkeupayaan off-…