Sistem RDA berfungsi dengan membuat pengawasan apabila pintu belakang dibuka dan ditutup sebelum dan selepas kenderaan bergerak.
Apabila pintu belakang digunakan sebelum memulakan perjalanan dan tidak dibuka selepas kereta diparkir, sistem RDA akan memberi peringatan kepada pemandu.
Peringatan pertama dibuat melalui makluman pada panel instrumen meter. Jika pemandu terus keluar tanpa mengendahkan pintu belakang, RDA akan membunyikan hon secara automatik.
Bilakah sistem ini benar-benar berfungsi? Sebagai contoh anda membuka pintu belakang dan meletakkan dokumen sebelum kereta bergerak.
Setibanya anda ke destinasi dan terus keluar daripada kereta tanpa membuka semula pintu belakang, sistem RDA akan membunyikan hon secara automatik.
Sistem begini sangat bagus terutama sekali apabila anak kecil duduk di belakang dan menjadi peringatan kepada pemandu mengenainya. Sistem ini berupaya mencegah pemandu daripada tertinggal penumpang di belakang.
Di Amerika Syarikat Nissan telah melengkapi RDA sebagai ciri standard untuk model keluaran 2019 seperti Altima, Armada, LEAF, Murano, Maxima, Pathfinder, Rogue, Rogue Sport (2019.5) dan TITAN (King Cab dan Crew Cab).
Untuk model 2020 pula, RDA dilengkapi pada Versa SV dan SR (Almera) baharu.
Memandangkan sistem ini begitu berguna diharapkan ia turut diperkenalkan oleh pengeluar lain dan menjadi kelengkapan standard untuk setiap model.
Penulis: Muhammad Md Tajudin