Geely memang bercita-cita tinggi untuk menjadikan Lotus daripada sebuah pengeluar kenderaan niche kepada sebuah jenama yang berpengaruh pada masa akan datang, dan Lotus kini bekerja keras untuk ke arah itu.
Menurut laporan daripada The Telegraph, Lotus kini sedang mencari 200 tenaga jurutera dalam usaha untuk meningkatkan kadar produksi tiga kali ganda kepada 5,000 buah kereta setahun.
Lotus juga di dalam perancangan untuk membuka sebuah pusat kejuruteraan yang terletak di Midlands, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan Lotus hadir dengan sebuah hypercar.
"Lotus sudah berada di dalam mod survival untuk bertahun-tahun," ujar CEO Phil Popham. "Kami perlu memanfaatkan sumber perindustrian di luar Norfolk dalam usaha untuk membantu pertumbuhan syarikat."
Kira-kira sebulan yang lalu, Lotus mengesahkan pembangunan hypercar pertama hasil kerjasama dengan Williams Advanced Engineering iaitu Lotus Type 130.
Selain daripada itu, Lotus juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan sebuah SUV berprestasi tinggi dalam usaha untuk memenuhi keperluan pasaran dunia.