Tatkala menteri Malaysia masih kekal dengan keputusan untuk melaksanakan idea kereta terbang untuk jabatan pertanian, nun jauh di Eropah, kereta terbang produksi pertama di dunia telah pun muncul.
PAL-V, sebuah syarikat Jerman menggunakan platform Geneva Motor Show untuk memperkenalkan Liberty Pioneer Edition kepada umum.
Menurut PAL-V, model Liberty Pioneer Edition merupakan kumpulan pertama kereta terbang sebenar yang bakal menemui para pemiliknya tidak lama lagi.
Dibina dalam 90 unit terhad sahaja, Pioneer Edition merupakan unit khas buat mereka yang mahu melakar sejarah di dalam revolusi mobiliti - antara kereta pertama yang mampu terbang ke mana sahaja.
Kereta dengan tiga tayar ini boleh ditransformasikan kepada bentuk terbang dalam masa lima hingga 10 minit, dan mampu terbang dengan dua unit enjin Rotax yang masih tidak diketahui spesifikasinya.
Manakala ruangan kokpit pula menggunakan bahan aluminium gred penerbangan serta kulit berkualiti tinggi, kawalan penerbangan berkembar, Sistem Instrumen Penerbangan Elektronik (EFIS), serta kemasan trim gentian karbon.
Harga jualan PAL-V Liberty Pioneer Edition ini bermula dari $599,000 (RM2.5 juta), lebih mahal $200,000 berbanding versi standard yang bakal dihasilkan setelah produksi model pertama ini tamat.
Proses penghantaran kereta terbang Liberty Pioneer Edition ini akan bermula pada 2020.
Nampaknya, Wawasan 2020 menjadi kenyataan..
Sumber: CarScoops