Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana pihaknya mengambil maklum keadaan di mana ramai rakyat di negara ini yang memiliki kenderaan lama dan maklumat tepat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah diperlukan untuk tujuan itu.
“Berapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia memiliki kenderaan usia lebih lama, harus ada ketepatan sebab setiap formula yang kami nak buat nak jamin kelancaran dan implikasinya kepada kewangan kerajaan,” katanya selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di Pasar Awam Kulim, hari ini.
Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, melalui mekanisme ini, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.
Mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019 melibatkan peruntukkan sebanyak RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan seramai empat juta pemilik kenderaan dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Sehubungan itu beliau berkata sebagai kementerian yang akan mengendalikan pelaksanaan subsidi itu, pihaknya akan membuat mesyuarat pertama bersama Kementerian Kewangan pada 8 Nov ini bagi mencari formula terbaik untuk memulakan mekanimse berkenaan.
Pihaknya juga akan turun padang bagi mendapatkan input pandangan rakyat yang merupakan pihak berkepentingan paling penting dalam pelaksanaan mekanisme itu.
“KPDNHEP sudah tentu perlu bersiap sedia dari segi pembinaan sistemnya, bersama Kementerian Kewangan akan terlibat dalam proses perolehannya dan membangunkan sistem...akan ada penglibatan dengan syarikat minyak, pengusaha stesen minyak dan bila kami laksanakan kami mahu jamin ianya proses yang licin dan lancar,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan subsidi itu kelak sebenarnya akan memberi faedah kepada kerajaan iaitu displin fiskal kewangan kerajaan akan menjadi lebih baik kerana setiap sen subsidi yang dibelanjakan kerajaan akan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi golongan T20 saya mohon agar tidak rasa kecil hati sebab T20 tahap pendapatan tinggi...kalau rakyat biasa dia kena beli harga (bahan api) lebih rendah sebab tahap pendapatan berbeza,” katanya.
--BERNAMA