Menerusi kerjasama ini, syarikat Blue Oval dilihat mahu meningkatkan tahap keuntungan mereka di samping mengurangkan kos pembangunan sesebuah model sebagaimana amalan lazim para pengeluar pada masa kini.
Perbincangan awal bersama Volkswagen memfokuskan kepada pembangunan kenderaan komersil dan sekiranya ia berjalan lancar, Ford akan memberikan VW akses kepada trak pikap Ranger dan van Transit bagi menggantikan model trak pikap Amarok dan Transporter.
Selain daripada itu, Ford juga kini sedang mengintai peluang bersama Mahindra bagi membangunkan kenderaan elektrik, SUV kompak dan SUV bersaiz sederhana di atas platform yang dibangunkan bersama-sama.
Kerjasama itu juga turut mempertimbangkan pilihan perkongsian sistem pacuan kuasa membolehkan enjin-enjin daripada Mahindra bakal diaplikasikan pada kenderaan Ford pada masa akan datang.
Pun begitu, kedua-dua berita ini timbul di saat desas desus tidak menyenangkan yang menyatakan Ford kini sedang merancang untuk menutup beberapa kilang pemasangan dan mengurangkan bilangan pekerja mereka. selain daripada perancangan untuk menghentikan pengeluaran C-Max, S-Max, Mondeo dan Galaxy.