Earthroamer XV-HD ini menggunakan casis daripada Ford F-750 dengan kuasa 330 bhp yang diekstrak daripada enjin 6.7 liter turbodiesel bentangan V8 serta daya kilas sebesar 983 Nm yang disalurkan kepada semua roda menerusi kotak gear enam kelajuan.
Bagi memberikan kemampuan untuk meredah pelbagai jenis bentuk muka bumi, Earthroamer telah memasang tayar bersaiz 46 inci Michelin XZL, sistem suspensi udara daripada Fox dan sistem pengimbang hidraulik.
Untuk mengalihkan sebarang halangan dengan mudah, sistem takal cangkuk (winch) yang disertakan mampu untuk menarik beban seberat 15,500 kg pada bahagian hadapan.
Earthroamer memberikan kebebasan spesifikasi dan konfigurasi kepada para pemilik mengikut kemampuan dan kehendak yang terdiri daripada lantai dengan pemanas terbina dalam, mesin basuh, bilik mandi serta set lengkap dapur.
Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan berkualiti tinggi seperti kabinet kayu gelap, dapur kemasan batu marmar, serta peralatan kalis karat.
Untuk hiburan ketika kepenatan menjelajah sesuatu kawasan, Earthroamer mendatangkan sistem hiburan yang terdiri daripada beberapa buah skrin televisyen sebelum diakhiri dengan sistem bunyi daripada Bose Surround Sound.
Para pemilik tidak perlu risau untuk tinggal di luar kawasan bersama enam orang dewasa selama beberapa hari oleh kerana XV-HD ini mampu membawa muatan diesel sebesar 435 liter dan air bersih sebanyak 946 liter, termasuklah bekalan elektrik yang diperoleh daripada sistem 2,100 watt kuasa solar serta pek bateri lithium ion berkapasiti 20 kWh.
Setakat artikel ini ditulis, Earthroamer sedang membina tiga unit pertama XV-HD dan dijangka akan menemui para pembeli lewat akhir 2018 atau permulaan 2019.