Malah kita juga dapat menyaksikan beberapa pihak sudah pun mula membawa masuk model-model caravan/campervan.
Ada juga pihak yang menawarkan perkhidmatan menukar kenderaan sedia ada (van panel/bekas ambulans/trak pikap) menjadi sebuah motorhome yang lengkap.
Di Eropah, syarikat pengeluar caravan Weinsberg mempersembahkan model baharu CaraLife 630 LQ menggunakan asas daripada model van Fiat Ducato.
Ciri unik yang ada pada model CaraLife ini ialah dinding yang memisahkan antara ruang kokpit dan ruang 'kediaman' di bahagian belakang, bertujuan untuk mencipta persekitaran 'rumah atas roda' yang lebih sempurna.
Terdapat juga kemudahan seperti tandas dan bilik pancur air yang boleh disorokkan apabila tidak digunakan, serta meja makan yang boleh disimpan untuk menyediakan ruang tidur tambahan.
Disebabkan kehadiran dinding pemisah antara ruang belakang dan kokpit, Weinsberg boleh memaksimumkan ruang sedia ada dengan menawarkan meja dapur berbentuk L, lengkap dengan ruang memasak, sinki, peti sejuk/beku yang sengaja diposisikan ke arah luar, dan televisyen sebesar 32 inci.
Di bahagian belakang, CaraLife 630 LQ ini menyediakan ruang tidur yang tidak boleh disimpan, di mana ia dilihat menyukarkan pemilik yang lebih mahukan ruang tambahan untuk penyimpanan barangan yang lebih besar seperti basikal, papan luncur dan sebagainya.
Namun, Weinsberg ada menawarkan program penyesuaian bagi membolehkan barangan yang besar disangkut pada bahagian dinding caravan ini, selain menawarkan opsyen untuk memuatkan katil sebesar 190 x 210 cm.
Mesti anda rasa bimbang nak tahu kos sebenar untuk sebuah Weinsberg CaraLife 630 LQ ini bukan?
Usah risau, kerana harga jualan yang ditawarkan bermula dari €59,990, atau RM302,244 untuk sebuah caravan Fiat Ducato yang dibekalkan dengan enjin 2.2 liter berkuasa 138 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan.